TANGKAK: Tiga sekeluarga maut manakala anak perempuan cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13, Jalan Sengkang Teratai di sini, petang semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintendan Idris Abdul Rahman, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 4.20 petang melibatkan kereta Toyota Altis Kelabu Gelap dan kenderaan pacuan empat road, Toyota Hilux Biru.
“Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun serta anak perempuan mereka yang berusia 17 tahun.
“Pemandu, penumpang hadapan dan belakang Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang belakang iaitu anak mereka remaja perempuan, 15 tahun mengalami kecederaan parah dan diberikan rawatan di Hospital Daerah Tangkak (HDT) untuk menerima rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, maklumat berkaitan pemandu dan penumpang Hilux masih tidak diperoleh, namun, mereka kini menerima rawatan di Hospital Muar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Idris berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Toyota Altis dari Bukit Gambir ke Kampung Teratai telah dilanggar oleh Toyota Hilux yang memasuki ke laluan bertentangan.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HDT untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kerjasama daripada pengguna jalan raya yang menyaksikan kemalangan itu amat diperlukan untuk tampil membantu siasatan pihak polis.
“Sebarang maklumat boleh salurkan kepada IPD Tangkak di talian 06- 9781222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan (PBK) 11, Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pukul 3.42 petang.
“Kemalangan melibatkan lapan mangsa dengan lima daripadanya mengalami kecederaan manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa yang cedera dibawa ke pusat perubatan berhampiran oleh kenderaan ambulans KKM manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. -UTUSAN