Tiada mekanisme selia subsidi

Tiada mekanisme selia subsidi

Kerajaan tiada pilihan selain mengurangkan subsidi bagi me­minimumkan beban kewa­ngan negara berikutan subsidi tahun ini dijangka mencecah RM81 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan mekanisme untuk mengawal selia barangan bersubsidi kepada kum­pulan sasar menyebabkan berlaku ketirisan sehingga ia turut dinikmati warga asing.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber industri yang terlibat dalam soal dasar berkata, setakat ini tiada kementerian atau agensi yang mempunyai punca kuasa menyelesaikan isu itu.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai punca kuasa utama dalam isu barangan kepenggunaan juga didakwa tidak mempunyai kuasa yang benar-benar mutlak untuk menyelia ketirisan subsidi barangan kepenggunaan.

“Hal itu mengakibatkan dua juta warga asing yang berada di negara ini turut menikmati pelbagai subsidi barangan yang sepatutnya disalurkan kepada warga tempatan yang benar-benar layak.

“Contohnya, kenderaan bernombor pendaftaran asing, kementerian tak benarkan membeli minyak petrol atau diesel bersubsidi.

“Itu sahaja yang kementerian (KPDNHEP) ada punca kuasa, kalau yang lain-lain itu, mereka tiada punca kuasa. Macam warga asing membeli beras, minyak masak bersubsidi atau ayam dan telur, itu mereka tiada punca kuasa dan tak boleh halang orang (luar) membeli. Kementerian memang tiada akta me­ngawal,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, dalam isu minyak masak paket 1 kilogram (kg) bersubsidi, sejak pengenalannya bermula 2009 sehingga sekarang langsung tiada sebarang kawal selia bagi memastikan penjualan dilakukan secara bersasar mendorong ketirisannya sehingga dijual berleluasa di luar negara khususnya Golok, Thailand.

Semalam, akhbar ini mela­porkan sejumlah RM19 bilion atau 30 peratus daripada ke­seluruhan RM66.3 bilion dalam bentuk barangan bersubsidi tiris ke tangan warga asing pada 2022 termasuk warganegara Singapura yang semakin membeli-belah di Johor kesan daripada kejatuhan ringgit Malaysia.

Angka dan peratusan tersebut didedahkan oleh pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai yang berkata, 30 peratus daripada keseluruhan subsidi kepenggunaan pada 2022, iaitu kira-kira RM19 bilion ‘hangus’ dinikmati pelancong serta warga asing yang membeli belah barangan bersubsidi dalam negara selain diseludup dan dijual di luar negara se­perti di Golok, Thailand.

Mengulas perkara itu, sumber berkata kerajaan sedang mengambil langkah mena­ngani isu ketirisan subsidi khususnya membabitkan barangan kepenggunaan asas, melalui langkah memperkenalkan mekanisme kawal selia penyaluran subsidi yang menyeluruh.

“Sebab itulah kerajaan mahu buat program subsidi bersasar. Siapakah yang akan jadi punca kuasa mengawalnya? Itu melalui kad pengenalan, kerajaan sedang mengenal pasti mekanisme penyaluran subsidi bersasar. Maksudnya sekarang, sampai hari ini masih belum ada sebarang mekanisme me­nyalurkan subsidi secara bersasar, tapi ia sedang diteliti. Sebab (ini) bukan melibatkan KPDNHEP saja tapi banyak kementerian dan agensi.

“Contohnya, minyak RON95, itu di bawah punca kuasa Kementerian Kewangan (MOF). Ayam dan telur di bawah MAFI dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) misalnya.

“Jadi, soal bilakah pelaksa­naan subsidi bersasar mula dilaksanakan, besar kemungkinan bermula hujung tahun ini. Sistem itu masih diteliti, sama ada mahu menggunakan kad pe­ngenalan atau satu lagi teknologi menggunakan satu bentuk kad khas. Itu belum dikenal pasti. Sebab bila menggunakan kad pengenalan, sistem apakah pula yang akan diguna pakai untuk proses penyaluran subsidi bersasar,” kata sumber.

Dalam perkembangan bera­singan, sumber berkata, kerajaan menetapkan kuota 60,000 tan metrik setiap bulan bagi skim minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya, sejumlah RM600 juta bagi skim penstabilan minyak masak paket bersubsidi telah dibelanjakan pada 2021, namun tidak membantu mengawal ketirisan apabila barangan bersubsidi itu turut dinikmati warga asing di negara ini.

“Dalam isu minyak masak bersubsidi dalam paket, seba­nyak 60,000 tan metrik sebulan kuota yang bersubsidi. Darab dengan 12 bulan, maksudnya setahun kuota minyak masak paket bersubsidi adalah 720,000 tan setahun. Sementara itu, tentang kos yang kerajaan belanjakan bagi subsidi mi­nyak masak, pada 2021 kerajaan memperuntukkan RM600 juta untuk skim penstabilan minyak masak paket bersubsidi.

“Maksudnya dalam konteks minyak masak paket bersubsidi misalnya, memang setakat hari ini masih belum ada mekanisme memastikan penjualannya dilakukan secara bersasar, belum ada lagi. Ini berlaku sejak pengenalan minyak masak paket bermula 2009,” kata sumber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN