Takiyuddin optimis Khairy pilih PN - Utusan Malaysia

Takiyuddin optimis Khairy pilih PN

TAKIYUDDIN Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) optimis bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan bersama gabungan parti itu sebagai platform untuk kembali dalam gelanggang politik.

Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meskipun bekas Ahli Parlimen Rembau belum membuat sebarang keputusan mengenai masa hadapan politiknya, beliau yakin PN merupakan satu-satunya pilihan terbaik buat Khairy.

“Khairy setakat ini belum putus lagi di mana dia hendak (bersama) tetapi dia tetap bersama kami, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) ada berjumpa, pimpinan kami (Pas) juga ada berjumpa. Dalam bulan ni ada perjumpaan, akan berjumpa lagi untuk perkembangan terbaharu.

“Belum ada keputusan, mungkin dalam waktu terdekat, PN harapkan sesuatu daripada beliau sebab sebagai seorang pimpinan kanan sebuah parti yang besar tiba-tiba dipecat daripada parti, bagi kami sudah tentu beliau perlukan platform yang sesuai dan pada masa ini hanya PN yang sesuai dengan beliau,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan yang diadakan Senawang di sini, semalam.

Khairy yang dipecat dari UMNO pada Januari lalu, sebelum ini dilaporkan berkata akan bertemu dengan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu depan.

Walaupun beliau tidak memberikan makluman terperinci, namun pertemuan tersebut dipercayai bagi memberikan keputusan muktamad beliau mengenai tawaran Muhyiddin kepada beliau bagi menyertai Bersatu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN