BATU PAHAT: Gara-gara mengedar peralatan perubatan tidak berdaftar selain tidak mempunyai lesen, sebuah syarikat yang beroperasi di daerah ini diserbu Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) hari ini.
Ketua Unit Risikan dan Operasi MDA, Dery Akmal Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama enam bulan oleh pihaknya selain menerima aduan daripada orang ramai.
Antara peranti perubatan yang dirampas ialah kit ujian kandungan, ‘blood lancet’, pelitup muka perubatan dan ‘first aid’ bernilai kira-kira RM300,000 yang dijual di farmasi serta klinik di seluruh negara.
“Sepanjang risikan yang kita lakukan, didapati peralatan ini dijual di farmasi serta klinik-klinik seluruh negara dan selepas ini kita akan membuat pemantauan di farmasi serta klinik berkenaan.
“Kita juga akan membuat serbuan bagi mengelakkan peranti perubatan tidak berdaftar dan pengedarannya tanpa lesen ini terus berada dalam pasaran,” katanya selepas serbuan berkenan di Kawasan Perindustrian Wawasan, Tanjung Laboh, dekat sini.
MDA juga telah menerima aduan berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh syarikat itu pada tahun 2017 dan 2022 dengan surat amaran juga telah dikeluarkan pada 2018 dan 2022.
Walau bagaimanapun, pemilik syarikat tersebut tetap berdegil dan ingkar serta terus melakukan kesalahan dengan menjual peranti perubatan tanpa kelulusan yang diimport dari China, sekali gus membawa kepada serbuan pada hari ini.
“Semasa serbuan dilakukan oleh seramai 14 anggota penguat kuasa MDA, pemilik syarikat yang berusia dalam lingkungan 40-an memberikan kerjasama selain terdapat lima orang pekerja di premis berkenaan dan tiada tangkapan dilakukan.
“Kesalahan yang dilakukan oleh syarikat ini adalah di bawah Seksyen 5(1) dan Seksyen 15 Akta Peranti Perubatan (Akta 737) kerana mengimport atau meletakkan peranti perubatan dalam pasaran sebelum didaftarkan.
“Peranti perubatan yang tidak berdaftar ini tidak dapat dipastikan tahap risiko serta keselamatannya dan dikhuatiri memberi kesan buruk kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN