PUTRAJAYA: Pencapaian calon bagi Sijil Pelajaran Malaysia 2022 (SPM 2022) merekodkan peningkatan apabila jumlah layak dapat sijil meningkat kepada 91.6 peratus.
Peratus layak dapat sijil itu adalah yang terbaik sejak syarat pensijilan 2013 diperkenalkan dan buat julung kalinya melebihi 90 peratus.
Berita gembira itu diumumkan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali pada Majlis Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022, hari ini.
Pkharuddin berkata, jumlah peratus itu meningkat 3.5 peratus berbanding 88.1 peratus direkodkan pada SPM 2021.
Beliau berkata, berdasarkan syarat pensijilan SPM yang ditetapkan mulai tahun 2013, calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak memperoleh sijil SPM.
“Pencapaian SPM 2022 telah menunjukkan peningkatan dari aspek gred purata dan peratus layak sijil dan hal ini membuktikan usaha yang telah dilaksanakan di peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah berada pada landasan yang betul,” katanya.
Ditanya mengenai punca peningkatan prestasi peratus layak sijil itu, Pkharuddin berkata, ia banyak dikaitkan dengan prestasi mata pelajaran Sejarah yang merekodkan peningkatan 0.23 mata iaitu tertinggi bagi mata pelajaran teras.
Menurutnya, peningkatan itu sekali gus membawa kepada prestasi layak sijil yang tinggi memandangkan subjek Sejarah adalah subjek wajib lulus.
“Kita berharap cikgu Sejarah di sekolah dapat terus memberikan asas sejarah lebih baik kepada calon SPM sekali gus melayakkan dapat sijil,” katanya.
Katanya, akses kepada sumber rujukan yang meluas ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika pandemik Covid-19 sebelum ini juga banyak membantu calon SPM 2022.-UTUSAN