Istilah luar bandar tak cerminkan realiti sebenar pendidikan sekolah

SPM 2022: Istilah luar bandar tak cerminkan realiti sekolah pedalaman

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan istilah ‘luar bandar’ dalam membandingkan jurang perbezaan gred purata pendidikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara pelajar di bandar dengan luar bandar tidak mencermin realiti sebenar tahap pendidikan di negara.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad, definisi luar bandar yang digunakan sebagai parameter dalam mengumpulkan data gred purata prestasi pelajar adalah tidak jelas dan sangat kabur sehingga menyebabkan analisis dibuat kurang bermutu.

Menyatakan kawasan perumahannya di Bandar Baru Bangi sebagai contoh, Anuar berkata, sekolah di dalam lokaliti tersebut dikategorikan sebagai luar bandar, namun realitinya infrastruktur dan prasarana disediakan tidak mencerminkan sedemikian.

“Kawasan itu dikategorikan sebagai luar bandar tetapi bercirikan bandar. Apabila sekolah yang berada di kawasan tersebut dimasukkan dalam kategori itu ia akan meningkatkan gred puratanya.

“Isunya di sini adalah berlaku seolah-olahnya terselindung satu kategori lain yang tidak dibincangkan iaitu kategori pedalaman.

“Jika kita ambil betul data sekolah di pedalaman dengan sekolah bandar, bandingkan, barulah kita dapat melihat jurang lebih jelas bagaimana perbezaan itu berlaku,” katanya dalam satu video di Facebook miliknya hari ini.

Video tersebut dimuat naik beliau bagi mengulas keputusan SPM tahun 2022 yang diumumkan Kementerian Pendidikan pagi tadi.

Kementerian Pendidikan mengumumkan, jurang gred purata keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara pelajar bandar dengan luar bandar semakin mengecil kepada 0.43 mata berbanding 0.46 yang dicatatkan pada tahun 2021.

Mengulas lanjut, Anuar yang mengimbau kuliah pengajian ahli akademik  tersohor negara, Allahyarham Professor Diraja Ungku Abdul Aziz, berkata, Ungku Aziz juga tidak bersetuju dengan penggunaan istilah luar bandar sebagai alat pengukur data.

Menurutnya, banyak kawasan di luar bandar dalam masa singkat boleh bertukar wajah dengan pembangunan intrastruktur dan prasarana menyebabkan data diperolehi Kementerian Pendidikan tidak melihatkan jurang sebenar pendidikan di negara.

“Data ini sangat penting untuk (memudahkan) kita menyusun strategi membantu sekolah yang memerlukan. Skor yang keluar dalam data SPM boleh dijadikan fokus untuk bantu sekolah tersebut.

“Jika jurangnya jauh, peruntukan khas, bangunan kewangan khas, atau latihan khas akan diberikan kepada sekolah di kawasan pedalaman supaya jurangnya dapat dikurangkan.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya di masa depan, KPM menggunakan istilah lebih tepat iaitu pedalaman untuk kategori gred purata SPM supaya dapat melihat gambaran sebenar realiti tahap pendidikan di negara.

Sementara itu, Anuar juga melahirkan kebimbangan dalam isu keciciran SPM pada tahun lalu disebabkan jumlahnya disifatkan sebagai agak besar.

Menurutnya, daripada 403,637 pelajar yang berdaftar untuk menduduki SPM hanya 370,837 sahaja yang hadir ketika peperiksaan dilaksanakan.

“Ini bermaksud seramai 33,000 yang berdaftar tidak menduduki peperiksaan SPM. 

“Selain itu, daripada 370,837 pelajar menduduki SPM, yang layak menerima sijil adalah 339,686 sahaja, ia bermaksud seramai 31,000 tidak layak menerima sijil,” katanya.

Ulasnya, jika kedua-dua data itu dijumlahkan, terdapat seramai 65,000 pelajar yang gagal hadir atau tidak layak terima sijil SPM.

“Ia jumlah yang membimbangkan kita kerana mereka tidak mempunyai sijil SPM dan mungkin akan menghadapi masalah untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Kita kena selesaikan isu ini. Ia perlu diteliti, difahami dan diambil tindakan dengan segera,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya