Setahun dua tukar wajah gerai di KL, ibu negeri -PM

Setahun dua tukar wajah gerai di KL, ibu negeri -PM

PERDANA Menteri mahu imej gerai di Kuala Lumpur, ibu negeri dan pekan berubah wajah dalam tempoh setahun dua ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kuala Lumpur dan ibu negeri serta pekan lain menyediakan gerai atau warung yang mengutamakan kebersihan serta menyediakan fasiliti indah mesra rakyat dalam tempoh satu hingga dua tahun ini.

Jelas Anwar, beliau berharap harapan itu direalisasikan dengan kerjasama merentas kementerian serta jabatan dan pejabat daerah yang mempunyai bidang kuasa berlainan. 

“Di Kuala Lumpur, mesti ada puluhan projek untuk penjaja untuk menampung jumlah penduduk yang kategori rendah ini, lebih ramai. Saya hendak dalam satu dua tahun ini, kita tukar wajah Kuala Lumpur, bila kita tengok gerai dan warung haruslah indah dan bersih. Ini tidak boleh berlaku khas di Kuala Lumpur, saya berbincang juga dengan menteri besar dan ketua menteri lain.

“Saya berunding dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga mempunyai dasar yang sama supaya pembangunan itu termasuk perumahan rakyat dan gerai-gerai di seluruh negara. Ini melibatkan kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan atau Jabatan Parit, semua harus ada perubahan minda. 

“Saya tidak mahu Madani hanya menjadi slogan kosong. Orang kena tahu apabila ada Madani, ada sikap ehsan iaitu kasih sayang. Manusia ini bukan sahaja melihat harta atau pangkat, tetapi dia lihat nilai kemanusiaan. Harus adil untuk menjamin ruang yang saksama kepada semua,” katanya ketika Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur. 

Anwar hadir bersama isteri yang merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi merasmikan medan selera D’Anjung Selera Madani yang telah dibangunkan dan diindahkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia adalah sejajar dengan hala tuju Perdana Menteri untuk memastikan gerai, warung dan medan selera di Kuala Lumpur mempunyai fasiliti yang bersih, cantik, moden serta tersusun. 

Tambah Anwar, budaya mengambil komisen serta rasuah harus dihentikan supaya kerajaan dapat menyempurnakan amanah kepada rakyat dengan menawarkan fasiliti dan kemudahan yang terbaik.

“Ada ramai penguat kuasa yang baik, tetapi ada juga saya dapat laporan kurang baik. Jadi, ini peringatan saya, kalau Tun dan Tan Sri pun saya melawan, inikan pula cicak mengkarung. Jangan kira komisen, jangan kira keuntungan ambil wang haram dan jangan kira rasuah. Ini nak bagi lesen kepada peniaga juga, ada yang mahu komisen dulu. Kalau ada berlaku perkara itu, lapor pada saya. 

“Ada pemimpin-pemimpin besar dahulu kata, apalah Anwar ini, asyik hendak tangkap orang rasuah sahaja, jagalah negara, jagalah ekonomi. Habis itu, kamu sakau berjuta, berbilion, aku harus lupakan? Kalau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tengok polis tepi jalan ambil rasuah RM50, ditangkap tetapi kalau di atas ini ambil RM50 juta, tidak mengapa. 

“Ini negara apa? Negara lanun ? Sebab itu saya katakan, kita perlu mula di atas. Itu sebab sebenarnya, kepala-kepala ini berpakat. Arahan saya, ambil tindakan terutama yang besar-besar. Yang bawah itu, kita beri amaran. Biar dia tengok dengan yang Tun atau Tan Sri pun kita berani lawan, yang bawah biar perangai elok sikit,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.