PUTRAJAYA: Murid tahun lima, Y. Sarvysswharrann, 11, menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Anugerah Duta Penerbangan Terbanyak diterima oleh Kanak-Kanak.
Sarvysswharrann yang kini belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Melawati, Kuala Lumpur pernah menerima tiga anugerah duta penerbangan tahun lalu.
Ia termasuk duta bagi AirAsia Young Ambassador, SimflightKL Aviation Services Brand Ambassador dan Asia Aeronautical Training Academy Brand Ambassador.
Pengiktirafan itu disampaikan pegawai MBOR Lee Pooi Leng (she) kepada Sarvysswharran dan turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Norazman Mahmud pada satu majlis di sini hari ini.
Norazman berkata, MBOR menetapkan sekurang-kurangnya tiga anugerah duta perlu diterima sebelum layak menerima pengiktirafan itu.
Menurutnya, pencapaian Sarvysswharran amat membanggakan dan harus menjadi inspirasi kepada murid lain bagi menerokai dunia penerbangan memandangkan bidang tersebut semakin berkembang luas
“Pengiktirafan itu mendorong minat Sarvysswharran untuk mengetahui dengan lebih lagi mengenai cabang penerbangan sekali gus mencapai cita-citanya untuk menjadi juruterbang,” katanya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, T. Yogeswaran yang juga bekas jurutera penerbangan berkata, minat Sarvysswharran terhadap dunia penerbangan bermula seawal usia dua tahun.
“Sarvysswharran juga pernah menghadiri kelas penerbangan simulasi dan juga pernah mengendalikan simulasi secara individu,” katanya.
Sarvysswharrann pernah mencipta beberapa kejayaan lain antaranya menamakan pesawat paling banyak iaitu 231 pesawat dalam masa enam minit.
Kejayaan itu diraih bagi kategori kanak-kanak lelaki berumur tujuh sehingga sembilan tahun di International Digital Innovation in Wellness Exhibition (DINOWEX) 2021 anjuran Universiti Malaya (UM).-UTUSAN