PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di kebanyakan tempat di negeri-negeri utara Semenanjung sehingga pukul 4 petang ini.
Menurut Met Malaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal berlaku di beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, selain Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sarawak.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak).
“Selain itu, di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat); Kuala Lumpur; Negeri Sembilan (Jelebu) dan Sarawak: Samarahan (Simunjan), Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei dan Sibu (Sibu),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Met Malaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” jelasnya. -UTUSAN