KUALA LUMPUR: Kes pengarah syarikat bergelar datuk seri yang didakwa meminta dan menerima rasuah RM15 juta dalam mendapatkan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mula dibicarakan bermula Mei 2024.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh perbicaraan membabitkan Datuk Seri Sim Choo Thiam bermula 6 hingga 10 Mei serta 13 hingga 17 Mei 2024 pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Beliau turut mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan sebarang permohonan, sekiranya ada, sebelum perbicaraan bermula.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad dan peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Choo Thiam.
Terdahulu, Hisyam memaklumkan bahawa pihaknya menghantar surat memohon butiran terperinci pertuduhan yang dikenakan pada anak guamnya pada 6 dan 19 Jun lalu.
“Tiada perkembangan daripada pendakwaan berhubung surat bertarikh 6 Jun. Kita kemukakan satu lagi surat bertarikh 19 Jun untuk dipertimbangkan apa yang dimohon, namun, tiada juga respon. Atas sebab itu, kami akan memfailkan dua permohonan di mahkamah dengan mengambil kira Seksyen 153 dan 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC),” kata peguam itu.
Nor Asma kemudian bangkit dan memberitahu bahawa pihak pendakwaan menerima surat-surat yang dihantar, namun, arahan yang diterima pada masa ini adalah untuk mengekalkan pertuduhan sedia ada.
“Setakat ini, kami ada 20 saksi pendakwaan dan akan menggunakan pernyataan saksi untuk bicara nanti,” tambah Timbalan Pendakwa Raya tersebut.
Pada 10 Mei lalu, Choo Thiam, 53, atas satu pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin bagi membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.
Choo Thiam jua menghadapi tiga lagi pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Kim Hong) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan kawasan letak kereta di Solaris Dutamas di sini di antara Jun dan 30 Julai 2021.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -UTUSAN