Ramai Ikrar Bebas Rasuah tetapi langgar ikrar -Azam Baki

Ramai Ikrar Bebas Rasuah tetapi langgar ikrar -Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mendedahkan ramai kakitangan agensi kerajaan dan swasta yang melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), tetapi masih melakukan rasuah di organisasi berkenaan. 

Katanya, program IBR bukanlah sekadar memenuhi majlis atau bersifat one-off kosmetik sahaja tetapi sebaliknya perlu dihayati dan dipatuhi.

“Ramai buat Ikrar Bebas Rasuah (IBR) tetapi langgar ikrar. Memang ada rekod kami, mereka dari agensi kerajaan atau swasta yang pernah melafazkan ikrar ini tetapi masih lagi berlaku rasuah di organisasi berkenaan,” katanya Majlis Pelancaran Hari Integriti WTCKL 2023 di Dewan Tun Hussien Onn World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Jelas beliau, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengatasi isu tersebut dari segi penguatkuasaan hinggalah tatakelola jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

“Pertama, dari segi penguatkuasaan undang-undang tegas, kedua pelaporan daripada ketua-ketua jabatan dengan tidak melindungi kakitangan mereka melakukan rasuah dan ketiga, tatakelola ataupun governance dalam jabatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terutamanya perlu diperkemaskan.

“Saya tekankan perkara ini kerana terdapat beberapa kes yang mana, janji-janji dalam IBR dimungkiri. Walaupun sudah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah.

“Perkara ini sesuatu yang memalukan. Seolah-olah, IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari,” ujarnya. 

Azam juga mengingatkan bahawa integriti adalah satu elemen penting dalam pembinaan masyarakat yang boleh menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara. 

“Tanpa integriti segala usaha ke arah memajukan negara akan memberikan hasil yang mengecewakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN