KOTA BHARU: Ahli dan penyokong UMNO di enam buah negeri perlu menolak parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti selepas dilihat sudah tidak mempunyai masa depan untuk membela Islam dan Melayu di negara ini.
Naib Presiden Pas Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penolakan itu perlu diterjemahkan dengan memberi undi kepada Pas atau parti-parti yang ada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, PN dilihat gabungan yang sesuai untuk menggantikan UMNO dalam menjaga Islam dan Melayu di Malaysia ketika ini.
“Dengan kedudukan hari ini…UMNO sudah tidak mampu untuk mempertahankan Islam dan Melayu apabila dilihat semakin hilang ‘taring’. Ahli atau penyokongan UMMNO, tak nak masuk Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengapa, asalkan undi kita (PN).
“Kemenangan kita (PN) di semua negeri ini adalah untuk kepentingan Islam dan Melayu serta masa depan negara. Dalam konteks Malaysia, parti teras yang mentadbir adalah Melayu dan Islam.
“Kalau dulu UMNO, tapi dalam Pakatan Harapan (PH) hari ini, parti teras bukan Melayu. Jadi situasi itu kurang baik untuk masa depan politik Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu, dengan barisan kepimpinan yang ada pada hari ini, masa depan UMNO dilihat semakin suram.
“Kalau kita lihat rekod mereka, UMNO semakin jatuh sehingga tinggal lebih kurang 26 kerusi (Parlimen) sahaja sehingga hari ini. Melihat kepada situasi itu hari ini, saya jangka UMNO akan terus jatuh lagi.
“Mengambil contoh di Selangor, Pakatan Harapan (PH) tidak mahu beri laluan kepada mereka (UMNO) dan difahamkan berkemungkinan UMNO hanya dapat sekitar lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja pada PRN nanti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Amar berkata, jika PN menang di semua enam negeri itu ia akan menjadi referendum penolakan rakyat terhadap PH sebagai kerajaan di peringkat persekutuan.
Katanya, situasi itu dilihat akan mengubah lanskap politik negara selepas ini.-UTUSAN










