PRN: Pas terbuka pertimbang Annuar jadi calon - Utusan Malaysia

PRN: Pas terbuka pertimbang Annuar jadi calon

ABDUL Hadi Awang menyerahkan sijil keahlian Pas kepada Annuar sambil diperhatikan Muhyiddin pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di Senawang, Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pas terbuka untuk membincang dan mempertimbang bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setelah Annuar sah menyertai Pas semalam, sudah tentu perkara berkenaan boleh dipertimbangkan apatah lagi bekas Setiausaha Agung UMNO itu mempunyai pengaruh tersendiri yang boleh membantu kemenangan Pas terutama di Kelantan.

“Itu satu perkara yang boleh difikirkan, kita tengoklah, beliau sendiri tidak berikan apa-apa syarat, beliau masuk menjadi ahli Pas, berjuang tanpa apa-apa syarat, soal pencalonan kita akan bincang.

“Sebagai tokoh veteran politik di Kelantan, beliau boleh memberi satu gelombang kemenangan kepada kami. Sebagai ahli Pas beliau layak dicalonkan atau diberikan peranan sebagai calon pas, apabila sudah jadi parti bersedia untuk apa-apa keputusan dibuat parti termasuk menjadi calon atau tidak menjadi calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan yang diadakan Senawang di sini, semalam.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Takiyuddin turut mengumumkan penyertaan Annuar sebagai ahli Pas.

Katanya, penyertaan Annuar tersebut merupakan daripada lebih 3,000 permohonan menyertai Pas yang telah diluluskan parti tersebut, semalam.

Simbolik penyertaan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang turut menyampaikan sijil keahlian parti itu kepada Annuar manakala Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya pula menyerahkan kad keahlian PN kepada pemimpin itu.

Sebelum ini, Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) dilapor menyatakan bersedia untuk bertanding pada PRN akan datang sekiranya mendapat tawaran.

Takiyuddin dalam pada itu memberitahu, Pas ketika ini pada setiap bulan menerima purata seramai 3,500 sehingga 4,000 permohonan baharu untuk menyertai parti itu pada setiap bulan,

“Hari ini sahaja lebih 3,000 termasuk penyertaan kumpulan Tan Sri Annuar Musa sendiri dan difahamkan akan ada lagi secara berkumpulan termasuk di peringkat negeri-negeri. Memang akan ada tokoh-tokoh lain cuma akan diumumkan nanti.

“Datuk Seri Eizlan Yusof juga sah menjadi ahli Pas dan bersama dengan dia juga ramai lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PN itu juga berkata, parti itu optimis untuk memenangi PRN di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

“Kami optimis dengan Negeri Sembilan, pembahagian kerusi juga sudah selesai, tinggal satu kerusi sahaja lagi, itupun tengok calon mana yang lebih winnable, mana-mana parti yang boleh berikan kemenangan kami akan beri, sudah selesai, satu kerusi sahaja lagi,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya