Premis persendirian dibenar laksana penyembelihan korban tahun ini - Mohd. Soffi - Utusan Malaysia

Premis persendirian dibenar laksana penyembelihan korban tahun ini – Mohd. Soffi

MOHD. SOFFI ABD. RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Premis persendirian seperti rumah individu, maahad tahfiz dan pondok dibenarkan untuk melaksanakan penyembelihan ternakan korban tahun ini.

Bagaimanapun, premis-premis persendirian terbabit perlu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, terdapat 10 syarat ditetapkan iaitu kebenaran melakukan penyembelihan hanya diberikan kepada tempat persendirian seperti rumah individu, maahad tahfiz dan pondok yang mendapat kelulusan.

Syarat lain katanya, premis persendirian terbabit perlu mendapatkan sumber bekalan ternakan daripada pembekal tempatan dalam negeri ini.

“Setiap premis persendirian juga perlu bersetuju menjalankan proses sembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan di bawah kategori sembelihan luar mengikut Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan 2009) Akta Binatang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Soffi berkata, syarat lain yang perlu dipatuhi adalah pemantauan pelaksanaan sembelihan di bawah kawalan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah.

“Pengendali tempat sembelih perlu berpengalaman dalam pengendalian ternakan sembelihan, proses penyembelihan dan aktiviti berkaitan.

“Pengendali juga bertanggungjawab memastikan SOP dilaksanakan mengikut ketetapan dan pengurusan sisa sembelihan hendaklah mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, setiap premis persendirian perlu mengemukakan borang untuk permohonan tempat persendirian di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah berkenaan.

“Rujukan Prosedur Pelaksanaan Penyembelihan Luar Ibadah Korban Negeri Pahang, Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban dan Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM) Kebenaran Sembelih,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 13 Jun lalu, kemasukan ternakan bagi aktiviti penyembelihan direkodkan bermula Mei lalu adalah 756 ekor membabitkan lembu (560), kerbau (83) dan kambing/bebiri sebanyak 113 ekor.

“Dijangka pertambahan permit pergerakan dikeluarkan dalam tempoh dua ke tiga minggu ini sebelum hari raya korban,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya