Polis buru suspek larikan barangan kemas RM1 juta - Utusan Malaysia

Polis buru suspek larikan barangan kemas RM1 juta

BAHAGIAN belakang kedai yang digunakan suspek untuk memecah masuk ke dalam kedai emas di Taman Margosa Maju, Bahau, Jempol pagi tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Polis kini sedang giat mengesan beberapa suspek lelaki yang masih belum dikenalpasti yang memecah masuk dan melarikan barangan kemas bernilai RM1.08 juta dari sebuah kedai emas di Taman Margosa Maju, Bahau, di sini, pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, kira-kira pukul 9.41 pagi, polis menerima maklumat dari seorang pemilik kedai emas yang memaklumkan kedainya telah dipecahkan dan kehilangan barang kemas yang disimpan dalam peti besi.

Jelas beliau, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh mendapati beberapa orang lelaki memakai topi, bersarung tangan dan memakai pelitup muka terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Suspek dipercayai telah masuk ke dalam kedai emas tersebut dengan cara memotong besi tingkap nako di bahagian tandas dan telah memecahkan pintu besi lalu memasuki bilik kebal.

“Beberapa peralatan untuk memecah masuk yang digunakan untuk memotong besi dan pintu di tempat kejadian telah diambil bagi siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, polis mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Raj Kumar di talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol 06-4582222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang pemilik kedai emas di Bahau, di sini, kerugian kira-kira RM 1 juta selepas kedai emasnya itu dipecah masuk awal pagi tadi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya