PM perlu buat semak dan imbang dalam kes dihadapi Najib - Utusan Malaysia

PM perlu buat semak dan imbang dalam kes dihadapi Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memainkan peranan besar dalam membuat semak dan imbang untuk memberi keadilan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh berkata, perkara tersebut membabitkan proses keadilan yang dilalui oleh Najib yang  tidak boleh dilakukan tergopoh- gapah untuk mencapai keputusan.

Menurut beliau, mahkamah perlu memberi segala keanjalan kepada Najib termasuk hajat beliau untuk mendapatkan khidmat peguam bela pilihan sendiri.

“Kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara bahawa kerajaan memperakui keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai tiada konflik kepentingan membabitkan  Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang menghakimi Najib dalam  kes SRC secara tidak langsung melemahkan teras-teras utama wibawa keadilan.

“Prinsip ‘Nemo Judex in Causa Sua’ bahawa individu yang menghakimi tidak boleh menghakimi sesuatu yang dia ada kepentingan didalamnya. Jika terdapat sedikit pun tanggapan keterlibatannya  maka adalah tindakan yang bijak demi wibawa keadilan untuk mengecualikan diri, seperti para hakim  lain yang memilih untuk mengecualikan diri atas alasan sama,” kata beliau  dalam satu kenyataan, hari ini.

MEWAKILI

Oleh itu, kata Rozilan,  isu tidak membenarkan Queen’s Counsel mewakili Najib dan tiada masa diberikan kepada pasukan pembelaan baru bersiap untuk mempertahankan bekas Perdana Menteri itu menyebabkan teras-teras keadilan tercemar. 

ROZILAN SALLEH

Oleh itu, kata beliau, Perdana Menteri sepatutnya lebih prihatin dalam hal ini berikutan tragedi 1998 yang menimpa beliau dan keluarganya supaya tidak lagi menimpa mana-mana rakyat Malaysia.

“Oleh kerana itu bagi memastikan keadilan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia, langkah pertama Perdana Menteri wajar mendapatkan pengampunan penuh bagi Datuk Seri Najib Tun Razak dalam  kes SRC.

“Menubuhkan  sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi melihat secara menyeluruh cabang Kehakiman yang diguna  dalam membicarakan kes Najib.

“Bagi kes-kes lain berkaitan 1MDB, Peguam Negara perlu menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk menghentikan prosiding-prosiding yang sedang berjalan sementara ‘internal review’ dijalankan di peringkat Kamar Peguam Negara tentang wibawa proses yang telah berlaku bermula daripada siasatan agensi-agensi terbabit,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya