KUALA LUMPUR: Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Penjara Kajang mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah Penjara.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan menjelaskan, beliau menerima maklumat permohonan berkenaan daripada Ketua Pengarah, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Menurutnya, kebenaran tersebut diberikan berdasarkan Bahagian 10, Peraturan 86, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 mengenai perhubungan banduan dengan saudara-mara dan rakan-rakannya iaitu kebenaran khas lawatan diberikan oleh Ketua Pengarah Penjara atau menteri.
“Kebenaran khas adalah daripada Ketua Pengarah Penjara atau saya. Ketua Pengarah Penjara maklum kepada saya dan saya tahu. Proses seterusnya diberikan oleh Ketua Pengarah Penjara, yang penting Ketua Pengarah maklumkan pada saya dan saya ambil maklum.
“Soal macam mana dia memaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri, itu proses seterusnya,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Kata Saifuddin, membawa makanan dari luar pula tertakluk kepada Bahagian 10, Peraturan 99 iaitu jika dibenarkan oleh pegawai yang menjaga.
Mengenai tempoh masa lawatan, beliau berkata, ia juga bergantung kepada budi bicara pegawai yang bertugas yang mengiringi pelawat berjumpa dengan banduan dalam penjara.
“Saya nak sebut yang dikatakan bahawa dia (Zahid) bawa alat elektronik itu tak betul, saya bercakap sendiri dengan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim. Siapa pun masuk, dia kena lalui pemeriksaan macam biasa, tak kira pangkat.
“Soal masa jumpa 30 minit ke, 40 minit ke, 45 minit, pertemuan itu dengan kehadiran pegawai penjara. Jadi pegawai penjara adalah pihak yang mempunyai autoriti untuk membuat keputusan pada masa itu.
“Saya pun dulu pernah melawat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh dan kadang-kadang saya dapat jumpa 15 minit, kadang saya dapat 30 minit. Jarang jarang sangat saya dapat 45 minit, ia bergantung kepada budi bicara pegawai masa itu,” ujarnya. – UTUSAN