Perpatih Fest jadi acara tahunan, tampil keunikan Adat Perpatih - Utusan Malaysia

Perpatih Fest jadi acara tahunan, tampil keunikan Adat Perpatih

AMINUDDIN Harun mencuba makanan tradisional yang dihidangkan dengan jambar dan panta pada Majlis Perasmian Perpatih Fest 2023 di pekarangan Muzium Negeri di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu menjadikan penganjuran Perpatih Fest sebagai acara tahunan pelancongan sekali gus dapat menampilkan keunikan sistem Adat Perpatih di negeri ini khususnya kepada generasi muda. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penganjuran berskala besar itu juga akan menjadi acara tambahan dalam kalendar tahunan pelancongan di negeri ini. 

“Perpatih Fest perlu diadakan pada setiap tahun, mungkin akan berubah-ubah tempat (lokasi) mengikut daerah yang lain supaya acara ini lebih dekat dengan masyarakat.

“Ia juga supaya kita dapat lebih menarik minat golongan muda serta memastikan adat ini dijaga dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest 2023 di pekarangan Muzium Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Aminuddin berkata, bagi memperkasakan Adat Perpatih, aktiviti adat dan warisan serta pemuliharaan bangunan dan rumah warisan, sejumlah peruntukan telah disediakan kepada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan menerusi Belanjawan Negeri Sembilan.

“Di bawah dana memperkasakan Adat Perpatih juga telah dijalankan pemuliharaan makam bersejarah yang terdapat di luak-luak. Selain daripada itu, luak-luak juga turut mengadakan Seminar Tanah Adat di bawah dana khas ini. 

“Saya difahamkan bahawa semenjak mula dana ini diperkenalkan pada tahun 2019 sehingga sekarang, sebanyak 300 lebih program yang bertujuan untuk memperkasakan pengamalan Adat Perpatih telah pun dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi.

AMINUDDIN Harun merasmikan Perpatih Fest 2023 yang diadakan di pekarangan Muzium Negeri di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Menteri Besar kemudiannya turut melancarkan sembilan identiti Negeri Sembilan yang merangkumi antaranya adat, seni bina, makanan tradisional, busana, bunga, muzik, tarian dan permainan tradisional.

Majlis hari ini turut menyaksikan dua rekod Malaysia dicipta dan dicatat dalam Malaysia Book of Records iaitu melalui Masakan Kari Kepala Kambing Terbanyak serta Panta dan Jambar Terbanyak.

Sementara itu, seramai 10,000 orang pengunjung disasarkan hadir pada acara Perpatih Fest yang bertemakan ‘Seadat Tidak Seresam’ itu yang berlangsung bermula hari ini hingga 11 Jun.

Pelbagai aktiviti diadakan bersempena acara berkenaan termasuklah demonstrasi dan promosi masakan luak-luak di Negeri Sembilan, demonstrasi permainan tradisional, jualan produk, pameran dan forum.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya