Saranan PH guna logo BN disebut dalam Taklimat Presiden UMNO

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO: Saranan PH guna logo BN disebut dalam Taklimat Presiden UMNO

PERWAKILAN berpusu-pusu memasuki Dewan Merdeka bagi mendengar ucapan taklimat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wujud cubaan memecahkan UMNO merupakan antara perkara disentuh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di hadapan lebih 6,000 perwakilan dalam Taklimat Presiden UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Selain itu, Ahmad Zahid dalam taklimat tertutup itu menjelaskan, wujud saranan oleh pihak tertentu agar Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) sebaliknya hasrat itu dikatakan tidak mendapat sambutan perwakilan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang perwakilan yang enggan namanya disiarkan berkata, Presiden UMNO mengambil contoh bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) pernah menggunakan logo PKR dan perkara itu seharusnya berlaku kepada dalam PRN.

“Presiden ada menyebut tentang ada cadangan PH guna logo BN tetapi tiada orang (perwakilan) dalam tepuk tangan, sampai beliau cakap tidak kisah kalau tidak mahu tepuk. Beliau kemudian mengambil naratif dahulu Bersatu dahulu pun guna tiket PKR dalam PRU-14,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut individu tersebut, Ahmad Zahid juga menyentuh berhubung prestasi UMNO yang terus dipertahankan meskipun parti itu hanya menjadi sebahagian Kerajaan Pusat pada hari ini.

Pada masa sama, bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, Presiden UMNO dalam taklimat tertutup itu menjelaskan parti pembangkang kini sudah kehabisan modal untuk memburukkan UMNO dengan kali ini dimomokkan parti itu kini sudah lupa diri terhadap perjuangan Melayu dan Islam.

Kata Mohd. Isa, sebelum ini pembangkang memainkan isu UMNO adalah parti rasuah dan terpalit dengan beberapa skandal namun  pemimpin Perikatan Nasional (PN) kini menjadi dalam kumpulan ‘Kluster Mahkamah’.

Jelasnya, tindak-tanduk itu bukan sahaja dimainkan pembangkang, malah dalam kalangan bekas pemimpin UMNO yang sendiri menghasut parti itu sudah hilang identiti perjuangan agama Islam dan kaum Melayu.

“Memang ada kekeliruan dan salah satunya menghasut rakyat bahawa UMNO telah lupa perjuangan. Perkara ini perlu diterangkan dengan baik oleh semua pemimpin dan ahli UMNO.

“Presiden UMNO dalam taklimat tadi menyebut wujud sentimen Melayu dan Islam yang cuba dimainkan pihak tertentu, seolah-olah kita tidak mempertahankannya,” katanya ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Isa berkata, Presiden UMNO meminta semua pemimpin dan ahli khususnya peringkat penerangan untuk menjernihkan kekeliruan terhadap salah faham yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Katanya, perkara itu amat penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung dalam masa terdekat.

“Saya nampak kita kena kerja keras, sebab pilihan raya tidak beberapa lagi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya