PASIR PUTEH: Syarikat Intergold Entity (M) Sdn. Bhd dan Sri Uda Sdn. Bhd mendedahkan tindakan penyewa tapak perniagaan di Lot PT 8319 di kawasan Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini diarah berpindah selepas melanggar perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang syarikat itu berkata, arahan berpindah itu melibatkan lot berkenaan sahaja dengan keluasan 1,760 meter persegi.
Menurutnya, notis milikan bertarikh 19 Jun lalu itu sudah diserahkan oleh Bailif Mahkamah Sesyen Kota Bharu, kepada penyewa, peniaga di lokasi berkenaan sahaja dan tidak melibatkan kawasan lain.
Ujarnya, Sri Uda Sdn. Bhd telah memberikan sewaan seluas 1,100 meter persegi sahaja ke atas tanah tersebut kepada seorang penyewa dengan untuk jumlah sewaan RM500.00 sebulan atas permintaannya dan dasar belas kasihan pada 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2021.
“Namun, penyewa didapati tidak menepati keluasan asal tanah yang disewakan sehingga Sri Uda Sdn. Bhd terpaksa meminda perjanjian sewa kepada keluasan 1,760 meter persegi dengan sewaan RM1,000 sebulan bermula dari 1 April 2021 hingga 31 Disember 2021 daripada 5.079 hektar luas keseluruhan tanah milikan.
“Penyewa tapak telah mungkir Perjanjian Penyewaan dan Pindaan apabila didapati tidak mempunyai lesen aktiviti perniagaan dan pengurusan, malah aktif menjalankan aktiviti-aktiviti urus niaga yang tidak sah dari segi undang-undang.
“Syarikat atas dasar ihsan telah memberikan masa hampir empat bulan untuk penyewa dan ‘orang-orangnya’ untuk mengosongkan tanah tersebut namun mereka telah ingkar untuk berbuat demikian walaupun mereka menyatakan kesanggupan untuk berpindah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang syarikat memberitahu, pada masa sama penyewa berkenaan telah mendirikan gerai-gerai kecil di atas tapak tersebut tanpa kebenaran dan persetujuan pemilik dan pengurus tanah tersebut yang dipercayai turut disewakan kepada peniaga lain.
Katanya, memandangkan segala perlanggaran Perjanjian Sewa dan Pindaan olehnya, Sri Uda Sdn. Bhd telah menamatkan Perjanjian Sewa dan Pindaan melalui Notis bertarikh 10 Disember 2021.
“Perjanjian Sewa juga telah luput pada 31 Disember tahun yang sama dan tiada sebarang lanjutan Perjanjian Sewa diberikan namun Sri Uda atas belas kasihan telah memberikan lanjutan masa untuk pengosongan tanah sehingga 14 Januari 2022.
“Penyewa juga telah gagal, enggan dan atau cuai untuk membuat bayaran sewa bulanan sejak bulan Disember 2021 sehingga sekarang yakin selama 19 bulan yang mana mengikut Writ Pemilikan berjumlah RM 33,000.00,” ujarnya.
Jurucakap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang syarikat berkata, penyewa dan orang-orang tersebut telah memfailkan pembelaan dan tuntutan balas sebanyak RM600,000 terhadap tuntutan Intergold Entity dan Sri Uda Sdn. Bhd.
“Namun mahkamah telah membenarkan tuntutan pemilik tanah dan menolak keseluruhan tuntutan balas penyewa dan rakan niaganya pada 6 Februari tahun ini. Kami tidak teragak-agak membuat laporan polis sekiranya mendapati penyewai menghasut peniaga lain yang tidak berkait dengan isu pengosongan dan pindah.
“Peniaga kecil terutama penduduk tempatan yang tidak berniaga di gerai yang dibina atau disewakan oleh penyewa itu tiada kaitan dengan kes ini. Mereka masih boleh terus menjalankan perniagaan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 85 peniaga kecil di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, di sini, merayu kerajaan negeri membela nasib mereka selepas diarahkan berpindah oleh pemilik tanah sejak tiga hari lalu.
Situasi itu menyebabkan peniaga yang rata-rata golongan asnaf dan ibu tunggal bakal hilang punca pendapatan memandangkan apabila kawasan merupakan ‘lubuk’ rezeki buat mereka sejak sekian lama.-UTUSAN