PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan bahawa penting untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempunyai pelan pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti yang baik.
Menurutnya, ia berikutan perkembangan sektor pendidikan tinggi dan sistem penyampaian secara umumnya menuntut warga kementerian menjadi kakitangan yang cakna serta berkebolehan.
Justeru, beliau menyarankan agar pengurusan KPT memandang serius keperluan untuk sentiasa memberikan latihan terbaik kepada warganya.
“Latihan atau pembangunan kapasiti ini tidak semestinya dilakukan dengan agensi kerajaan, tetapi dengan mana-mana sahaja yang berprestasi tinggi sama ada pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat, gerakan sivil sama ada dari dalam atau luar negara.
“Untuk menjadi cekap, berkemahiran, profesional dan cemerlang, kakitangan kementerian mesti sentiasa dilatih. Pendedahan terhadap ilmu dan perkembangan baharu mesti dijadikan budaya,” katanya ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPT 2022 di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, warga KPT juga harus sedar bahawa mereka merupakan sebuah kementerian yang sangat kritikal dan menggalas amanah negara yang sangat besar.
Jelasnya, ini kerana tugas KPT adalah memastikan lahirnya generasi bangsa yang berilmu, berkemahiran, matang serta berdaya saing.
“Malah, kalau kita lihat trend semasa, semua perkara yang berlaku dalam negara, akhirnya akan dipulangkan kepada KPT.
“Jumlah penganggur meningkat, cari KPT. Gaji pekerja kecil dan tidak berpatutan, cari KPT. Pelajar sekolah lebih gemar menjadi influencer dan Grab rider, cari KPT.
“Pelbagai perkara lain yang menjadi isu masyarakat, kebanyakannya akan dikaitkan dengan KPT. Itu semua bermakna, kerajaan dan masyarakat sekeliling melihat KPT sebagai kementerian yang penting menentukan masa depan negara,” ujarnya.-UTUSAN