KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menafikan berlaku berat sebelah terhadap pemilihan pemenang bagi setiap kategori dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) seperti yang didakwa beberapa pihak.
Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, berat sebelah atau ketidaktelusan terhadap keputusan dalam anugerah bersprestij itu tidak berlaku kerana proses pemilihan yang ketat dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak berkepentingan.
“Keputusan tidak dibuat berdasarkan perbincangan dalam kalangan juri, sebaliknya ditentukan oleh pemarkahan tertutup yang mereka berikan.
“Pemarkahan tersebut kemudiannya diaudit dan dikira pihak ketiga atau badan bebas yang tidak berkepentingan dan bebas daripada pengaruh pihak lain termasuklah penganjur AIM.
“Mungkin yang buat andaian itu tidak faham dengan sistem pemilihan ini. Kita ada proses dan sistem yang ketat dan telus. Keputusan berat sebelah tidak akan dibiarkan berlaku,” katanya selepas majlis Pelancaran Sumbangan Rahmah Industri Muzik dan Ramah Mesra Artis di ibu negara.
Terdahulu, beberapa bekas juri AIM mendakwa berlaku ketidaktelusan dalam proses pemilihan pemenang bagi penganugerahan tersebut.
Dalam masa yang sama, Rosmin memaklumkan amat penting bagi pihak penganjur melantik individu yang benar-benar layak untuk menjadi juri AIM. – UTUSAN










