Peniaga mengaku bersalah beri rasuah RM600 kepada penguat kuasa MBIP - Utusan Malaysia

Peniaga mengaku bersalah beri rasuah RM600 kepada penguat kuasa MBIP

LOW YET KEONG mengaku bersalah atas dakwaan memberi rasuah sebanyak RM600 kepada seorang pembantu penguat kuasa MBIP pada November tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang peniaga mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM600 kepada seorang pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), November tahun lalu.

Tertuduh, Low Yet Keong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Walau bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan hukuman  atas permintaan peguam bela tertuduh, Shaik Saleem S.M. Daud bagi pelaksanaan rundingan akuan mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yet Keong, peniaga ikan kering dan pembekal rempah ratus itu didakwa memberi suapan RM600 kepada pembantu penguat kuasa MBIP di Pasar Mini Sri Skudai, Taman Sri Skudai pada pukul 12.50 tengah hari, 1 November lalu.

Suapan tersebut sebagai dorongan supaya premisnya  yang melanggar syarat lesen perniagaan dikeluarkan MBIP, iaitu menjual barang basah tidak dikenakan tindakan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000, namun peguam bela tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh menyara tiga orang anak dan  mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk kencing manis dan darah tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Johor.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh memberikan penghakimannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN