Peniaga di Pantai Bisikan Bayu rayu pembelaan kerajaan negeri

Peniaga di Pantai Bisikan Bayu rayu pembelaan kerajaan negeri

SEBAHAGIAN peniaga menunjukkan notis arahan supaya berpindah di Pantai Bisikan Bayu, Semerak di Pasir Puteh, Kelantan hari ini. UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seramai 85 peniaga kecil di Pantai Bisikan Bayu, Semerak, di sini, merayu kerajaan negeri membela nasib mereka selepas diarahkan berpindah oleh pemilik tanah sejak tiga hari lalu.

Situasi itu menyebabkan peniaga yang rata-rata golongan asnaf dan ibu tunggal bakal hilang punca pendapatan memandangkan apabila kawasan merupakan ‘lubuk’ rezeki buat mereka sejak sekian lama.

Wakil peniaga, Nor Hazri Muhammad Nor,43, berkata, dia dan rakan menerima notis supaya mengosongkan kawasan itu sebelum 3 Julai ini sekali gus membuat mereka buntu untuk mencari lokasi baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kami akur dengan perintah yang telah dikeluarkan oleh pihak berkenaan supaya berpindah ke lokasi lain. Walaupun berat, namun kami terpaksa menghadapi situasi ini.

“Difahamkan pemilik tanah tidak menyambung perjanjian sewaan dengan kami yang telah sekian lama berniaga sini. Oleh itu, kami amat berharap pihak Kerajaan Negeri dapat membantu membela nasib peniaga di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Seorang peniaga sate ikan, Abdul Kadir Jailani, 34, mengakui dia berdepan kesukaran untuk mencari lokasi baharu bagi meneruskan perniagaan.

Katanya, setiap hujung minggu dia mampu memperoleh pendapatan lumayan hasil menjual sate ikan memandangkan lokasi ini merupakan tumpuan pelancong.

“Saya berharap kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari lokasi baharu yang mampu membantu peniaga terbabit. Lagi pun, kami bayar lesen untuk berniaga di sini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Nor Shidatulfauzira Md. Nor, 33, berkata, punca pendapatan untuk menyara dua anak akan hilang jika warung yang sudah beroperasi di lokasi ini diarahkan berpindah.

“Saya hanya mendapat gaji harian sebanyak RM45 sudah mampu menampung perbelanjaan keluarga yang tinggal di Kampung Pachakan yang tidak jauh dari lokasi Pantai Bisikan Bayu.

“Mencari pekerjaan baharu memang susah dan inilah satu tempat yang membolehkan saya mendapatkan sumber rezeki,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Tok Aman Bali Beach Resort Wan Karimah Wan Mohammed Noor ketika dihubungi mengesahkan penghantaran notis berkait oleh pihak guaman syarikat namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, pihak pengurusan tertinggi akan mengeluarkan kenyataan berkait isu berkenaan  kepada pihak media dalam tempoh yang terdekat.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN