JOHOR BAHRU: Pemimpin dan ahli UMNO yang masih kurang senang hati dengan hala tuju baharu parti dalam kerajaan perpaduan diminta berhenti menjadi parasit yang hanya akan merosakkan parti tersebut.
Sebaliknya, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman menegaskan, sekiranya golongan tersebut mempunyai usul atau cadangan, mereka boleh menggunakan saluran parti dan bukan buat kenyataan terbuka semata-mata untuk meraih publisiti kerana kini rata-rata ahli UMNO telah mula memahami hala tuju parti dan kepentingan berada dalam kerajaan perpaduan.
“Jangan ada lagi pemimpin yang pertikaikan keputusan parti bekerjasama dengan 19 parti lain untuk tubuh kerajaan perpaduan. Kepada pemimpin dan ahli UMNO yang masih kecewa kerana agenda peribadi tak tercapai mahupun mereka yang berada di luar parti, berhentilah serang UMNO dan institusi Presiden yang hanya memburukkan lagi persepsi rakyat kepada parti.
“Bekas pemimpin tertinggi UMNO yang digantung, berhentilah jadi parasit yang membusukkan UMNO dan tak perlu mencampuri urusan UMNO. Mulut kata benci tapi dalam hati ada taman, jangan meroyan dan jangan menyasau bila sudah tak tinggal lagi dalam rumah UMNO.
“Sebaliknya, berilah sokongan kepada pemimpin yang telah dipilih semasa mesyuarat pemilihan lalu sebagaimana parti berikan sokongan kepada kamu sehingga berjaya duduk di puncak kuasa sebelum ini. Balaslah jasa UMNO dengan bantu perkukuhkan parti dan bukannya lupa diri sehingga mahu hancurkan parti secara senyap,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Abdul Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, parti juga tidak boleh terus memberi muka kepada golongan tersebut yang selama ini telah mengumpul kekayaan ketika memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan.
“Jangan lagi bersekongkol dengan orang luar atau musuh UMNO. Masa kamu sudah tamat, sudah sampai masa untuk pilih antara kesetiaan kepada parti ataupun kepentingan diri. Rumah UMNO adalah rumah kita, pemimpin dan ahli UMNO adalah keluarga kita dan mari pertahankan keutuhan rumah kita dan pertahankan maruah keluarga kita.
“Jika ada orang nak serang dan rosakkan rumah UMNO, kita wajib pertahankan dengan segala kudrat yang ada. Jika ada orang cuba nak serang ahli keluarga UMNO, kita juga wajib bersama untuk melawan, jangan dibiarkan ahli keluarga UMNO lunyai digasak lawan dan paling penting jangan ada orang dalam UMNO yang tumpang sekaki dengan musuh untuk ganyang saudara-saudara sesama parti.
“Jika ada manusia jijik seperti ini, kita wajib pulaukan mereka dan jika perlu kita mesti halau dia keluar dari rumah UMNO. Cukup-cukuplah, UMNO tak boleh lagi beri muka kepada pengkhianat yang telah mendapat kekayaan semasa berada dalam UMNO.
“Sudah cukup banyak luka dan derita yang parti tanggung dek perbuatan musuh dalam selimut ini. Bersatulah kita dan tumpukan usaha untuk terus memperkukuhkan parti keramat ini,” katanya. – UTUSAN










