Penduduk Lipis kagum keperibadian Al-Sultan Abdullah

Penduduk Lipis kagum keperibadian Al-Sultan Abdullah

ABDULLAH Zawawi Kamaludin (belakang, bersongkok) mengiringi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergotong-royong membaiki rumah mangsa banjir pada awal Januari 2015 di Kampung Aur Gading di Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Penduduk daerah ini bersyukur serta berbangga kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang mempunyai sifat terpuji suka mendekati serta mengambil berat kebajikan rakyat.

Rata-rata penduduk Lipis menyifatkan Al-Sultan Abdullah mewarisi karisma kepemimpinan serta keperibadian ayahanda Seri Paduka iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah yang cukup rapat dengan rakyat.

Keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disenangi dan diteladani rakyat negeri ini lebih-lebih lagi apabila berpegang kepada wacana prinsip ‘raja dan rakyat berpisah tiada’.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakitangan kerajaan, Abdullah Zawawi Kamaludin berkata, dia kagum dan terharu apabila Al-Sultan Abdullah begitu prihatin dengan kebajikan rakyat dan akan berangkat mencemar duli berziarah jika Seri Paduka mendapat tahu sesuatu musibah berlaku seperti banjir, ribut, kemalangan dan lain-lain malapetaka.

“Pengalaman saya ketika berdepan banjir besar melanda daerah ini pada penghujung 2014 dan awal Januari 2015, Seri Paduka ketika itu sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Tunku Azizah Aminah Maimunah segera berangkat menziarahi mangsa di pusat pemindahan, memberikan bantuan dan sokongan moral dengan mengetepikan protokol,” katanya di sini semalam.

Abdullah yang memangku tugas sebagai Penghulu Mukim Batu Yon 1, Lipis ketika bencana tersebut berkata, peristiwa itu masih segar dalam ingatannya apabila Al-Sultan Abdullah berangkat menziarahi mangsa serta turut membantu membaiki kerosakan kediaman dan juga memberikan jaminan menyediakan rumah baharu di tempat yang selamat.

Penduduk Kampung Telang, Ahmad Nazree Shahbudin menambah, pengalamannya ketika selepas banjir di Kampung Chegar Perah apabila bertugas menyediakan peralatan pertukangan untuk Al-Sultan Abdullah membaiki sebuah rumah mangsa di situ.

“Saya agak tergamam apabila Al-Sultan Abdullah meminta tukul dan paku untuk membaiki dinding rumah. Melihat saya tergamam, Seri Paduka tersenyum dan ketika itu hilanglah rasa sedikit gementar.

“Sesiapa sahaja yang ditemui termasuk warga emas, Al-Sultan Abdullah tidak lokek senyuman dan kerap bertanyakan khabar serta memberikan nasihat seperti mana peribadi yang dizahirkan oleh Almarhum Sultan Ahmad Shah,” jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Masjid Sultan Mahmud, Bandar Kuala Lipis, Mohd. Akmal Abdul Manap berkata, keperibadian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah menjiwai kebajikan rakyat mewujudkan suasana harmoni apabila Seri Paduka cukup mudah didampingi.

“Setahu saya, ke mana sahaja Al-Sultan Abdullah turun padang bersama rakyat, Seri Paduka selalu menitipkan aspek akidah Islam, perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.

“Seri Paduka menitikberatkan hal ehwal Islam khususnya pendidikan kepada pembangunan ummah malah memfokuskan pembinaan insan generasi hari ini ketika berangkat mengimarahkan sesebuah masjid bersama rakyat di negeri ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.