Pembangkang bantah Laporan Ketua Audit Negara dibahas  - Utusan Malaysia

Pembangkang bantah Laporan Ketua Audit Negara dibahas 

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Dewan Rakyat  kecoh apabila pembangkang bersepakat supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak dibahas dalam persidangan hari ini, atas alasan  bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sebaliknya, pembangkang mencadangkan supaya kerajaan mendahulukan beberapa usul persendirian bermula dengan cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim supaya menyegerakan pembinaan dan baik pulih tembok sempadan Malaysia -Thailand bagi kawalan sempadan di  kedua-dua negara. 

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketidakwajaran untuk LKAN dibahas dalam Dewan Rakyat kerana  terdapat undang-undang yang memperuntukkan laporan itu boleh dibentang tanpa perbahasan. 

Beliau merujuk Perkara 107 (1), Perlembagaan Persekutuan berkenaan LKAN bahawa laporan itu  hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dibentang di Dewan Rakyat.  

Menurut Takiyuddin, Perkara 107 (2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan satu naskhah mana-mana laporan yang berhubungan dengan akaun-akaun bagi sesuatu Negeri, atau berhubungan dengan akaun-akaun bagi mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberi oleh undang-undang Negeri, hendaklah dikemukakan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri dan hendaklah laporan itu dibentang di DUN. 

DIBENTANG

“LKAN berkaitan kementerian, jabatan Persekutuan hanya perlu dibentang atas meja ahli Parlimen dan ia telah dilakukan pada 16 Februari 2023. Semakan kajian kami menunjukkan sepanjang perjalanan Dewan Rakyat, ia tidak pernah dibentang dan dibahas. 

“Oleh itu, kami memohon supaya satu arahan untuk menyatakan apakah asas LKAN dibentang kerana kami jangka kerajaan akan jawab tiada peruntukan LKAN boleh dibahas. 

“Tetapi, dalam undang-undang, kalau tiada undang-undang bertulis ia dikenali sebagai satu konvensyen, amalan yang dilakukan. Amalan sepanjang dalam Parlimen laporan LKAN tidak pernah dibahas dan ia jadi satu peraturan undang-undang,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pembangkang mungkin tidak berpeluang meneruskan usul persendirian kerana dijangka lebih banyak Rang Undang-Undang (RUU) serta laporan kerajaan akan dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat.  

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pembangkang terkhilaf memahami urusan mesyuarat kerana meskipun hanya ada dua RUU dibentang ketika itu, mengikut rancangan ia sepatutnya berjalan dengan perbahasan beberapa laporan antaranya daripada LKAN dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Jelasnya, ia tidak semestinya menjurus kepada perbahasan usul persendirian kerana meskipun RUU terdahulu telah diluluskan, ahli Parlimen masih tertakluk kepada Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menetapkan urusan kerajaan menjadi keutamaan.

LAPORAN

“Kali ini, saya mahu pastikan setiap kali mesyuarat kedua kita masukkan juga laporan ini. Laporan ada tetapi tidak pernah dibahas. Ia hanya dicetak dan diletak atas meja. Siapa baca laporan pun tidak tahu. 

“Orang awam pun tidak tahu apa yang berlaku dalam Suhakam. Begitu juga laporan Ketua Audit Negara. Jadi, sebab itu arahan saya ialah letak sahaja satu hari ada satu atau dua rang undang-undang sebab mahu beri ruang dan masa untuk ahli Parlimen bincang laporan yang disedia oleh pegawai,” kata Johari. 

Usul persendirian atau RUU persendirian amat jarang berlaku atau hampir tidak pernah didengar di Dewan Rakyat kerana Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan urusan kerajaan mesti didahulukan.

Ini bermakna, kerajaan boleh melangkau terlebih dahulu daripada sebarang usul atau RUU persendirian yang dikemukakan oleh ahli Parlimen yang sudah berada dalam senarai menunggu.

Kali terakhir usul persendirian didengar ialah pada 2016, apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu bertindak menggantung urusannya di Dewan Rakyat, bagi membenarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membaca RUU persendiriannya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya