KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan mewujudkan elaun dan mengkaji harga siling rumah sewa susulan isu peningkatan harga sewaan rumah yang membebankan mahasiswa institusi pengajian tinggi.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mengambil serius berhubung perkara itu ekoran pelajar IPT hari ini bukan terpaksa mengikat perut tetapi bersesak untuk menghuni bersama-sama rakan lain.
Justeru, kata beliau, Pemuda UMNO akan membuat libat urus bersama wakil majlis belia, wakil universiti, kerajaan serta wakil swasta bagi menjayakan cadangan itu.
“Ia boleh dilaksanakan dengan kajian mendalam. Ia pun sudah dilaksanakan di Australia, Jerman, Perancis maka saya berpercaya boleh dilaksanakan di Malaysia,” katanya menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTKCL) di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai sewa kediaman yang mahal dan kos sara hidup tinggi menyebabkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar terpaksa berhimpit-himpit dalam satu rumah selain ada yang bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.
Situasi itu menyebabkan ramai menyewa rumah atau apartmen dan berkongsi sehingga 20 orang, tidur berhimpit enam atau lapan orang sebilik, persis ‘tin sardin’. -UTUSAN