KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk mewujudkan Dasar Generasi Penamat (GEG) bagi golongan yang lahir pada 1 Januari 2007 dan selepasnya bakal terlaksana melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
RUU itu dijadual dibaca buat kali pertama pada 12 Jun ini, dalam sidang Dewan Rakyat.
Dasar GEG di bawah RUU itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau vape bagi individu yang lahir bermula tahun 2007 dan seterusnya.
Pembentangan RUU itu sekali gus menggantikan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat direalisasi menteri terdahulu, selepas Parlimen penggal ke-14 dibubar tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, kementerian mendapat persetujuan dan sokongan daripada Jemaah Menteri untuk membentang RUU itu setelah mengemukakan memo Jemaah Menteri kepada Kabinet pada 26 Mei lalu.
“Ini adalah satu kejayaan (mendapat kelulusan Kabinet) dan kita mendapat sokongan daripada Kabinet.
“Insya-Allah, pada 12 Jun ini (Isnin), kita dapat tarikh untuk bentangkan bacaan pertama di Parlimen,” katanya kepada pemberita semasa sesi taklimat bersama media berkaitan RUU itu di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, RUU itu dibentang bagi bacaan pertama dan kedua pada 27 Julai dan 1 Ogos tahun lalu oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
RUU bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.
RUU itu dilihat amat penting memandangkan masalah penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi semakin berleluasa terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Parlimen ketika itu kemudian meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen untuk Menimbang Rang Undang-Undang bagi meneliti dan membuat syor penambahbaikan.
Sebanyak 23 cadangan pindaan yang terkandung dalam RUU ketika itu. Bagaimanapun, ia gagal diteruskan susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, selain 23 cadangan pindaan sebelum ini, kerajaan turut menambah beberapa cadangan baharu iaitu menggugurkan peruntukan larangan pemilikan bagi generasi penamat sekali gus menyebabkan isu pemeriksaan badan tidak lagi terpakai.
Katanya, satu klausa baharu turut dimasukkan iaitu pembentangan laporan keberkesanan berkala setiap lima tahun di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan laporan pertama dibentang sebelum Januari 2025.
Turut dikekalkan dalam RUU tersebut ialah tiada hukuman penjara dan khidmat masyarakat bagi memberi peluang pendidikan, kesedaran dan tidak bersifat punitif semata-mata.
“Bagi RUU 2023 juga, kuasa penguatkuasaan telah dihadkan hanya bagi tujuan pengilangan, pembungkusan, penyimpanan, penyerahan, pengedaran atau penjualan produk tembakau,” katanya. -UTUSAN