Minyak masak 37,774 kilogram dirampas KPDN Temerloh - Utusan Malaysia

Minyak masak 37,774 kilogram dirampas KPDN Temerloh

MINYAK masak bersubsidi yang dirampas penguatkuasa KPDN Temerloh dalam serbuan operasi bersepadu di Mentakab, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh menyita 37,774 kilogram minyak masak dalam operasi bersepadu bersama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di daerah ini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, melalui operasi dijalankan itu, pihak Penguatkuasa KPDN Temerloh menjalankan pemeriksaan di sebuah premis pemborong barang-barang keperluan di Mentakab di sini.

“Kita mendapati pihak premis menyimpan barang kawalan iaitu minyak masak dalam kuantiti yang banyak dan melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

“Dalam serbuan yang dibuat, pengurus syarikat terbabit seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kes disiasat di bawah Subperaturan 9(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini ini.

Menurut Abdul Razak, di bawah akta itu, pemborong hendaklah menjual kepada pemborong atau peruncit kesemua kuantiti barang berjadual dan tidak boleh ada dalam milikannya atau kawalannya barang berjadual yang melebihi kuantiti yang dinyatakan dalam lesen.

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM241,063.10,” tambahnya sambil memberi amaran kepada individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

Beliau menegaskan, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau peniaga yang ingkar dan seterusnya akan berdepan tindakan berat serta denda tinggi.

Menurutnya, bagi individu, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya