MEKAH: Seramai 17 anggota polis bantuan Tabung Haji (TH) ditempatkan di unit peronda di lapan lokasi strategik di Masjidilharam bagi membantu dan mencari jemaah yang tersesat supaya mereka dapat pulang ke maktab dengan selamat.
Ketuanya, Wan Samsol Husin berkata, operasi 24 jam yang dibahagikan kepada tiga syif itu bermula sejak 26 Mei lalu. Setiap syif mempunyai lapan petugas yang digelar sebagai lipan bara.
Katanya, antara lokasi itu termasuk di tandas dan pintu Marwah, pintu As-Salam, Zamzam Tower, laluan ke Misfalah dan Hafaer.
MERAH
“Anggota lipan bara boleh dikenali melalui baju T merah, seluar hitam, kopiah putih dan beg silang merah tertera tulisan petugas TH.
“Mereka akan mencari dan boleh mengenal pasti jemaah yang sesat. Kesemua mereka merupakan anggota polis bantuan TH yang dipilih selepas menjalani ujian saringan kesihatan yang ketat,” katanya.
Menurut Wan Samsol, antara tugas lain peronda ialah menahan teksi untuk menghantar jemaah pulang ke maktab.
Tambahnya, terdapat kes jemaah warga emas berusia 60 hingga 70 tahun ke atas yang tidak mempunyai pengiring hilang arah selepas melakukan umrah.
“Ada juga kes jemaah yang terkeluar dari Masjidilharam sebelum sempurna umrah mereka dan dibawa semula ke lokasi saie untuk melengkapkan tujuh pusingan,” katanya.
Sementara itu, kesemua 31,600 jemaah Malaysia telah melalui pemeriksaan kesihatan yang komprehensif dan lulus sebelum mereka dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Marsudi Manah berkata, jemaah dikategorikan mengikut kod warna berdasarkan tahap kesihatan masing-masing.

Katanya, jemaah yang tidak mempunyai masalah kesihatan diberikan kod warna hijau.
Bagi yang ada masalah kesihatan yang terkawal seperti hipertensi dan diabetes yang stabil serta boleh menjalankan ibadah haji sendiri dikategorikan dalam kod kuning.
Kod merah bagi jemaah yang memerlukan pengiring untuk memudahkan pergerakan mereka melaksanakan ibadat haji.
“Kod hitam pula ialah untuk jemaah yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak dibenarkan terbang ke Tanah Suci kerana mempunyai penyakit kronik,” katanya di sini.
Menurut Marsudi, doktor akan melakukan pemeriksaan ke atas semua segmen dalam sistem tubuh seperti kardiovaskular, pencernaan dan emosi sebelum jemaah dibenarkan menunaikan haji.
Tambahnya, jemaah pula perlu diperiksa oleh doktor bertauliah di klinik-klinik kesihatan kerajaan mahupun swasta yang mempunyai nombor pendaftaran yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.
“Kriteria pemeriksaan kesihatan di bawah garis panduan itu antaranya menetapkan tiada jemaah haji yang berpenyakit kronik seperti kanser, penyakit paru-paru yang kronik dan sebagainya” jelas beliau.
Pemeriksaan kesihatan merupakan langkah positif supaya semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna. – UTUSAN











