PETALING JAYA: Pasukan siasatan melakukan ‘profiling’ atau mengumpul maklumat terhadap beberapa individu dan syarikat susulan dakwaan ‘naungan politik’ ke atas pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.
Tanpa mendedahkan identiti individu dan syarikat berkenaan, satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, proses berkenaan adalah sebahagian daripada asas siasatan berdasarkan aduan dan maklumat yang diperoleh.
Kata sumber itu, pada peringkat awal siasatan, setiap maklumat mahupun aduan berkaitan isu penyelewengan dan rasuah yang didedahkan mana-mana individu akan diteliti kesahihanya terlebih dahulu sama ada ia benar-benar terdapat kesalahan jenayah atau tidak.
“Selepas itu, baru tindakan profiling dilakukan bagi mengetahui sama terdapat transaksi yang meragukan atau tidak,” kata sumber.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan dakwaan terdapat naungan politik terhadap aktiviti judi online kepada kebijaksanaan PDRM dan SPRM untuk mendedahkan ahli politik terbabit.
Saifuddin pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat sebelum ini, mengesahkan kegiatan perjudian dalam talian haram dinaungi pemimpin politik.
Beliau berkata, elemen berkenaan menjadi kekangan terbesar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan secara keseluruhannya dalam usaha membanteras kegiatan itu.
Kata Saifuddin, pihak yang menyediakan platform perjudian dalam talian itu boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu. – UTUSAN











