Kubur Wang Kelian: Polis jejak enam lagi individu - Utusan Malaysia

Kubur Wang Kelian: Polis jejak enam lagi individu

EMPAT individu warga Thailand dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes penemuan penempatan sementara dan kubur di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, pada 2015 di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis mengesan enam lagi warga asing untuk diekstradisi ke negara ini kerana disyaki terbabit dengan pe­nemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.

Lima daripada individu ber­kenaan rakyat Thailand manakala seorang lagi warga Bangladesh.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, sekitar tahun 2015 sehingga 2016, empat warga asing iaitu dua Myanmar masing-masing seorang Thailand dan Bangladesh dituduh di bawah Sek­syen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Bagaimanapun ketika itu, terdapat 11 lagi individu yang bebas terdiri daripada 10 warga Thailand dan seorang Bangladesh malah waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Seksyen di sini ke atas semua individu terlibat,” kata beliau di sini semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan empat individu warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam berkaitan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mei 2015.

DIREKODKAN

Bagaimanapun, tiada penga­kuan direkodkan daripada Jehpa Lapi-E, 56, Arun Kaeofainok, 29, Somphon A-Dam, 51, dan Amree Nasalaeh, 58, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengulas lanjut, Baderulhisham berka, salah seorang daripada 11 individu berkenaan pernah ditahan di Johor dan dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar pada 5 April tahun lalu.

Menurut beliau, empat lagi rakyat Thailand telah diekstradisi dan terus dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar mengikut kesalahan di bawah ATIPSOM 2007.

“Polis akan berusaha bagi mendapatkan baki enam lagi individu yang tersenarai di dalam Notis Merah Interpol untuk ditudu,” katanya.

Dalam pada itu, Baderulhisham berkata, polis akan terus menjalankan risikan bagi mengembangkan siasatan selain akan mendapat kerjasama kerajaan Thailand dan agensi-agensi berkaitan.

“Polis berharap baki enam lagi suspek yang dipercayai berada di luar negara dapat ditahan dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia kelak,” katanya.

Pada 2015, media melaporkan penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar me­nempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang merupakan isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN