KPM, KPT bincang isu lambakan graduan pendidikan

KPM, KPT bincang isu lambakan graduan pendidikan

FADHLINA Sidek (empat kiri) bergambar bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 ketika melakukan tinjauan sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz Shah (Integrasi) di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG:  Perbincangan secara progresif dijalankan antara Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkemaskan lagi perkongsian data dan unjuran membabitkan lambakan graduan pendidikan di negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jalinan kerjasama antara dua kementerian itu juga bagi menyatakan komitmen dalam memastikan guru yang dilahirkan dari universiti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah berkualiti di peringkat rendah mahupun menengah.

Menurutnya, perbincangan dari semasa ke semasa yang progresif tersebut sememangnya sudah pun dijalankan, namun, akan dipertingkatkan lagi membabitkan perkongsian data dan unjuran.

“Kita di KPM menguruskan graduan di IPG (Institut Pendidikan Guru) dan KPT ada graduan pendidikan di fakulti pendidikan lain jadi unjuran dan perkongsian data itu penting.

“Paling penting adalah isu kualiti guru yang memang kita sama-sama komited di  peringkat KPM dan KPT,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Terdahulu, Fadhlina mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah (Integrasi) bagi meraikan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang memaklumkan bahawa KPT akan menulis surat kepada KPM bagi membincangkan isu lambakan graduan perguruan di negara ini.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, amat penting bagi KPT untuk mengetahui unjuran keperluan guru yang hanya boleh diberikan KPM.

Ini kerana katanya, keperluan guru bukan saja dalam kerajaan tetapi juga diperlukan dalam sektor swasta.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pihaknya juga menyokong dan mendokong inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan isu graduan pendidikan dan penempatan guru diselesaikan selepas ini.

Terdahulu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, turut mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran KPM boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit.

Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.

Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya