ARAU: Kemasukan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar ke dalam Perikatan Nasional (PN) boleh memberi impak besar kepada gabungan tersebut untuk merampas Negeri Sembilan dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Malah, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga antara nama-nama besar lain yang disebut bakal menyertai PN.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, gelombang bersama PN bukan sahaja terdiri daripada pemimpin berpengaruh malah turut melibatkan pemimpin setempat.
Menurut beliau, sudah pastinya jika mereka menyertai PN sama ada Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal memberi impak positif kepada PN.
Sebagai contoh katanya, apabila Datuk Seri Shahidan Kassim bersama gabungan tersebut secara tidak langsung membantu PN menang 17 daripada 18 kerusi di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Mereka (Khairy, Noh Omar) ada pengikut ramai sudah pastinya membantu. Seperti Khairy ia bakal memberi impak dan tidak mustahil boleh membantu merampas Negeri Sembilan.
“Begitu juga Noh di Selangor ia akan membantu selain rakyat yang sedang marah kepada Pakatan Harapan (PH) dan UMNO,” katanya.
BERTEMU
Sebelum ini, media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dijangka bertemu dengan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu depan.
Tanpa mendedahkan secara terperinci, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dilaporkan berkata, pertemuan tersebut bagi memberikan keputusan muktamad beliau, dipercayai mengenai tawaran menyertai parti berkenaan.
Sementara itu, Hashim berkata, pemimpin terbabit antara yang dipecat atau digantung oleh UMNO sedangkan mereka merupakan tonggak kepada parti berkenaan.
Kata Hashim, akhirnya mereka memilih sama ada menyertai Pas atau Bersatu di dalam PN dan gabungan tersebut terbuka menerima pemimpin-pemimpin berpengaruh ini.
“Pengaruh mereka boleh membantu menambah kekuatan PN. Tidak mustahil kita mampu merampas Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam PRN ini.
“Shahidan antaranya telah membantu menzahirkan gelombang perubahan di Perlis manakala Tan Sri Annuar Musa yang menyertai Pas turut akan membantu di Kelantan.
“Selain gelombang-gelombang ini, ada satu lagi gelombang yang tidak boleh dilupakan iaitu bagaimana Allah SWT menjentik hati mereka untuk bersama dalam penyatuan ummah ini,” katanya.- UTUSAN











