Kerjasama usahawan dari Anhui diharap wujud industri baharu di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Kerjasama usahawan dari Anhui diharap wujud industri baharu di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tiga dari kanan) bersama Tian Hock (empat dari kanan) dan Jian Hua (dua dari kanan) pada pada Majlis Makan Malam Bersama Persatuan Saintis dan Usahawan Anhui di Bandar Sri Sendayan, Seremban semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan kini meneroka peluang kerjasama di antara syarikat tempatan bersama usahawan dari Wilayah Anhui, China bagi membina keupayaan dan industri-industri baharu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah tersebut diharap dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang bergaji tinggi untuk rakyat negara ini khususnya di Negeri Sembilan.

“Persatuan Saintis dan Usahawan Anhui (AASE) mempunyai lebih 4,000 orang ahli yang terdiri daripada usahawan berprofil tinggi dan merupakan kapten industri di wilayah negara itu.

“Bagi melonjakkan kemampanan, saya berharap syarikat-syarikat di bawah persatuan usahawan Anhui China ini akan terus meluaskan kehadiran mereka dan bekerjasama dengan rakan perniagaan tempatan dan kerajaan bagi membina keupayaan dan industri-industri baharu di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Persatuan Saintis dan Usahawan Anhui di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, Pengasas Kumpulan Matrix Concepts Holdings Bhd., (Matrix Concepts) Datuk Seri Lee Tian Hock dan Setiausaha AASE, Dai Jian Hua.

Aminuddin dalam pada itu berkata, bagi mewujudkan sinergi pembangunan yang bersepadu, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian untuk mencapai pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.

“Tumpuan akan diberi kepada pelaksanaan projek yang berimpak tinggi untuk menarik pelaburan asing ke negeri ini. 

“Ia juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan yang akan mengurangkan jurang sosioekonomi rentas negeri dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

Sementara itu, Jian Hua memberitahu, pihaknya Negeri Sembilan merupakan negeri yang berpotensi untuk pembangunan dan ia juga lokasi yang strategik bagi syarikat-syarikat China untuk mencari peluang pembangunan dan kerjasama pelaburan di Malaysia. 

“AASE akan memberi sokongan kepada syarikat China untuk bekerjasama dan melabur di Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, kami juga mengalu-alukan usahawan dari Negeri Sembilan untuk melabur di Anhui. 

“Kami ingin memperkuatkan kerjasama dalam bidang penggunaan teknologi inovatif, makanan hijau, perkhidmatan moden, perubatan biologikal, tenaga dan bahan baharu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN