Kerjasama Mahathir-Muhyiddin perlu diterjemah di semua peringkat - Utusan Malaysia

Kerjasama Mahathir-Muhyiddin perlu diterjemah di semua peringkat

Mohd. Solihan Badri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keterbukaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menjalin kerjasama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu direalisasi secara terbuka di semua peringkat.

Naib Pengerusi PN Johor, Mohd. Solihan Badri yakin kerjasama tersebut mampu menyatukan kembali masyarakat Melayu di negara ini dalam memperjuangkan kepentingan kaum dan agama Islam.

“Kerjasama semula Dr. Mahathir dan Muhyiddin juga memperkukuhkan wadah perjuangan serta melebarkan payung untuk nangsa Melayu bernaung dengan lebih selamat dan makmur di negara sendiri selain mengimbangi kestabilan politik negara kerana digugat parti politik mendokong ideologi yang mempolitikkan perkauman, dasar dan kepentingan melibatkan Bangsa Melayu serta agama Islam.

“Kerajaan sedia ada dikhuatiri tidak memihak kepada pembelaan nasib bangsa Melayu apabila wakil kaum itu dalam Kabinet kini tidak memainkan peranan bukan sahaja mengangkat isu kepentingan bangsa Melayu, malah menyelesaikan permasalahan rakyat khususnya membabitkan peningkatan kos sara hidup, bekalan makanan dan harga barangan serta pelbagai isu sosioekonomi keseluruhannya. 

“Justeru, kerjasama dua pemimpin tersebut bukan sahaja memperkukuhkan perpaduan yang menjadi asas kelangsungan bangsa Melayu, bahkan mengembalikan kunci kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara ini tanpa ada niat memberi ancaman kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Solihan berkata, di peringkat Johor, pihaknya yakin masih ramai penyokong Dr. Mahathir yang mahu merealisasikan kerjasama itu di peringkat akar umbi seperti yang berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi.

“Ketika pemimpin dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang mulai cenderung membidas antara satu sama lain, PN Johor tidak nampak hala tuju ke mana mereka hendak membawa negara, rakyat serta bangsa Melayu pada masa depan.

“Jadi, apabila Dr. Mahathir menghulur tangan dan sedia membuka lembaran baharu bekerjasama dengan Muhyiddin maka inilah masanya seluruh bangsa Melayu kembali bersatu tanpa prejudis serta menamatkan perbalahan yang bukan hanya merugikan bahkan menghakis kelangsungan kita di negara sendiri,” katanya sambil  menyeru sikap keterbukaan semua pemimpin politik dan rakyat negara ini terhadap inisiatif menyatukan bangsa Melayu menerusi kerjasama itu.

“Ini kerana kekuatan bangsa Melayu akhirnya akan memberi hikmah, kekuatan serta pelbagai impak positif kepada seluruh rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.