Keputusan rayuan Azeez Rahim saman Guan Eng 21 Ogos

Keputusan rayuan Azeez Rahim saman Guan Eng 21 Ogos

ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung saman fitnahnya terhadap Lim Guan Eng akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 21 Ogos ini.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Norkamilah Aziz pada pengurusan kes itu yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam Felix Lim ketika dihubungi media selepas tamat prosiding tersebut.

Turut serta pada prosiding tersebut ialah peguam Craig Ho Wai Ping bagi pihak perayu, Abdul Azeez.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020 yang menolak saman fitnahnya terhadap Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ketika itu menolak saman tersebut atas alasan Abdul Azeez gagal mengemukakan bukti dalam saman itu. Mahkamah turut memerintahkan Abdul Azeez untuk membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng.

Pada 2018, Abdul Azeez memfailkan saman fitnah terhadap Guan Eng yang mendakwa bekas Menteri Kewangan itu mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada sidang media di Pulau Pinang pada 28 Februari 2018, ketika Guan Eng masih memegang jawatan Ketua Menteri.

Dalam samannya, Abdul Azeez selaku plaintif mendakwa Guan Eng mengaitkan beliau dengan bayaran berjumlah RM3 juta sebagai bayaran perundingan kepada pemaju bagi projek itu.

Beliau mendakwa kenyataan itu mendapat liputan meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu menyebabkan beliau mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ahli Parlimen Baling itu turut memohon suatu perintah untuk menghalang penerbitan semula kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya