Jualan kambing merosot menjelang Aidiladha

Jualan kambing di Perlis merosot menjelang Aidiladha

HUSMIZAR Hussain,43, hanya mampu termenung melihat kambing peliharaan yang masih banyak belum terjual meskipun sudah semakin hampir menjelang sambutan Aidiladha di Jalan Kolam, Kampung Alor Merah, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sebelum ini, setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, Husmizar Hussain, 43, dari Jalan Kolam, Kampung Alor Merah di sini mampu menjual sehingga 200 ekor kambing untuk ibadah korban.

Namun, tahun ini, jualan kambingnya merosot teruk sehingga 60 peratus dan menjelang seminggu sebelum Aidiladha, dia hanya mampu menjual sekitar 60 ekor sahaja.

Husmizar yang menyediakan lebih 200 ekor kambing tahun ini dengan modal kira-kira RM70,000 hanya mampu meraihkan pulangan jualan sekitar 30 peratus sahaja daripada modal yang dikeluarkan sedangkan sambutan Aidiladha sudah semakin hampir.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, dia yang menternak kambing sejak lapan tahun lalu menyifatkan jualan tahun ini adalah yang paling teruk.

Katanya, dia juga hairan melihat situasi tersebut dan tidak menolak kemungkinan faktor tekanan kos sara hidup menyebabkan orang ramai berjimat.

Selain itu, katanya, antara faktor lain, berkemungkinan disebabkan trend orang ramai melakukan ibadah korban secara dalam talian di luar negara yang lebih menjimatkan.

“Sepatutnya seminggu menjelang Aidiladha ini, sudah ratusan ekor kambing pelanggan tempah namun tahun ini jualan merosot sangat teruk. Saya pun tidak pasti sama ada mampu meraih pulangan modal tahun ini,” katanya.

Katanya lagi, dia berharap jualan akan meningkat menjelang Aidiladha dan berusaha meningkatkan lagi promosi bagi meningkatkan jualan.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, kambing yang dijual hanya sekitar RM800 sehingga RM1,300 seekor.

“Kebelakangan ini, kos sara hidup semakin meningkat dan ia memberi kesan kepada para peniaga termasuk penternak sendiri. Selalunya, Aidiladha merupakan peluang kami mencari rezeki tambahan apabila jualan melonjak namun tidak berlaku tahun ini.

“Bukan saya sahaja terkesan, malah penternak-penternak kambing lain juga mengakui terkesan teruk tahun ini,” katanya.

Bagi mereka yang ingin menempah kambing Husmizar boleh menghubungi di talian 013-4560789 atau terus ke kandang kambingnya di sini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN