SEREMBAN: Penumpang-penumpang bas digalakkan untuk melaporkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan pemandu kenderaan itu bersama dengan bukti termasuk rakaman video dan gambar kepada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.
Timbalan Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Sairin Dula@Sabdullah berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu bas adalah seperti memandu sambil menggunakan telefon bimbit, merokok dan memandu di lorong kanan secara berterusan.
“Aduan-aduan melibatkan kesalahan tingkah laku pemandu bas ini adalah penting dan kami menggalakkan orang ramai membuat laporkan di mana-mana cawangan JPJ atau di aplikasi MyJPJ,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidiladha tahun 2023 di Plaza Tol Ainsdale di sini.
Sementara itu, katanya, operasi khas tersebut diadakan selama empat dengan anggota JPJ Negeri Sembilan turut telah membuat tiga pasukan penyamaran di dalam bas ekspres.
“Operasi ini bertujuan untuk mengelakkan risiko berlaku nahas jalan raya akibat pertambahan aliran trafik selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Pada masa yang sama juga kami memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan motor yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” tambahnya yang memberitahu operasi berkenaan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama termasuklah tidak mematuhi isyarat lalu lintas lampu merah, tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit-UTUSAN.