ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM42.1 juta bagi melaksana kerja penyelenggaraan dan baik pulih empat kediaman flat awam yang uzur di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, empat flat awam tersebut terletak dalam kawasan ‘Greater Johor Bahru’.
Menurut beliau, ia melibatkan dua buah pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
“Empat flat awam yang dimulakan kerja-kerja baik pulih dan selenggara adalah Flat Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) dengan peruntukan RM25 juta melibatkan baik pulih perpaipan dan dicat semula.
“Manakala Flat Saujana pula membabitkan peruntukan sebanyak RM10.1 juta dengan penggantian lif baharu yang akan bermula bulan depan serta cat semula.
“Selain itu, Flat Kenari dan Jentayu di Kangkar Pulai pula menerima RM7 juta daripada bagi melaksana beberapa pembaikan seperti cat semula bangunan dan tempat letak kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Flat Awam di Kangkar Pulai, di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.
Tindakan berkenaan susulan teguran dibuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan baginda dengan tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat-flat kos rendah di negeri ini.
Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.
Sehubungan itu, Mohd. Jafni memaklumkan, lebih 50 peratus daripada kesemua flat awam di negeri ini berada dalam kategori uzur dan kotor dengan pelbagai masalah penyelenggaraan.-UTUSAN