Insiden letupan bom lempar: Polis ambil keterangan semua individu di lokasi lejadian - Utusan Malaysia

Insiden letupan bom lempar: Polis ambil keterangan semua individu di lokasi lejadian

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak polis akan merakam keterangan semua individu yang berada di lokasi kejadian letupan bom lempar yang mengorbankan seorang jurulatih dan seorang penuntut dari Institut Pentadbiran Dan Pengajian Pangkalan Udara Sendayan (Instar) semasa latihan menembak senjata dan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin petang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, rakaman tersebut bagi melengkapkan siasatan polis dan setakat ini kes masih diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Siasatan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan kes mati mengejut namun kami difahamkan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca kejadian.

“Kami akan rakam kenyataan semua (individu) yang berada di lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

TUDM sebelum ini dalam kenyataan memaklumkan akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan berhubung kejadian tersebut serta menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan.

Dalam insiden tersebut, dua maut melibatkan anggota TUDM yang sedang menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Laskar Udara 1, Mohd. Iqmal Masdi, 22 manakala jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN