TAMPIN: Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sebelum ini dilaporkan cedera parah dalam insiden bom lempar meletup ketika latihan di Kem Syed Sirajuddin di Gemas di sini kelmarin telah dihantar ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di ibu negara.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan yang sebelum ini dilaporkan dihantar ke Hospital Segamat, Johor selepas kejadian berkenaan kini dipindahkan HAT Tuanku Mizan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Jelas beliau, berdasarkan laporan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kedua-dua belah matanya.
“Mata kanan agak stabil cuma mata sebelah kiri mengalami kecederaan agak teruk. Pembedahan mata telah dilaksanakan oleh doktor pakar di Hospital Segamat. Mangsa telah dihantar ke HAT Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang pukul 12.10 tengah hari kelmarin itu, seorang penuntut Instar, Pangkalan Udara Sendayan di sini, Laskar Udara I Mohd. Iqmal Masdi, 22, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah akibat letupan bom lempar.
Kejadian berlaku ketika Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPP Kls 1) Siri 78/23 diadakan di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini.
Seorang lagi anggota TUDM, Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33, yang merupakan jurulatih di institut berkenaan, meninggal dunia pada pukul 5.45 petang kelmarin di Hospital Segamat, Johor ketika diberikan rawatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.-UTUSAN.