Hassan digelar 'walaun', dicemuh kritik Anwar - Utusan Malaysia

Hassan digelar ‘walaun’, dicemuh kritik Anwar

HASSAN ABDUL KARIM kekal menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri walaupun mengaku sering mengkritik pemimpin itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendedahkan dirinya menerima pelbagai kecaman termasuk digelar ‘walaun’ daripada ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR kerana sering mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun bekas Pengerusi PKR Johor itu mengaku tetap berpendirian teguh menyokong kepimpinan Anwar yang merupakan seorang sahabat baiknya dalam perjuangan politik mereka.

“Sekarang apabila saya mengkritik Perdana Menteri, saya disuruh letak jawatan sebagai Ahli Parlimen. Saya didesak keluar parti, dilempar dengan pelbagai tuduhan dan dicop macam- macam, termasuklah gelaran ‘walaun’ dan sebagainya. 

“Saya terima dengan terbuka dan sikap ‘gentlemen’. Seorang ahli politik adalah seperti seorang pahlawan di medan perang, dia boleh menyerang dan juga mesti sanggup bertahan apabila diserang.

“Kritikan, teguran dan pandangan politik yang kuat dan keras terhadap lawan atau kawan sendiri adalah ibarat menghunus pedang. Dalam adat pertempuran, barang siapa yang berani menghunus pedang, maka dia juga mesti berani mati di hujung pedang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Hassan turut mengakui bahawa beberapa kritikannya khususnya yang disiarkan dalam Utusan Online bertajuk ‘Anwar Ibrahim terlalu bergantung kepada UMNO’ terlalu kritis dan tidak adil bagi pemimpin nombor satu negara itu.

“Tidak adil rasanya jika saya terlalu mengkritik. Jadi, saya mahu beri sedikit pujian ikhlas kepada Anwar, khususnya dalam konteks bahawa kerajaan perpaduan ini lebih prihatin kepada golongan bawahan berbanding kerajaan terdahulu.

“Dalam soal menjaga kepentingan rakyat golongan bawahan, Anwar tidak berubah. Dia adalah Anwar yang dahulu yang saya kenal sejak puluhan tahun lalu, ketika dia menyokong perjuangan petani Baling, Kedah yang miskin, golongan setinggan miskin di Tasek Utara, Johor Bahru dan begitu juga sokongan terhadap perjuangan golongan petani tidak bertanah di bawah pimpinan Hamid Tuah di Telok Gong, Selangor,” jelasnya.

“Kata-kata Anwar itu betul, saya percaya apa yang Anwar katakan itu (menjaga kesejahteraan rakyat golongan bawahan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya