PONTIAN: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan menerima mengadap Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura ( JETCO), Datuk Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Pengarah Kanan Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE), Prof Dr Azmi Aris dan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar Dan Sumber Air (IPASA) Prof Dr Zainura Zainon Noor.
Pada pertemuan tersebut, Hasni mempersembahkan cadangan penubuhan Pusat Tebatan Iklim Johor (JCMC) kepada Tuanku Permaisuri.
“Saban tahun, Johor antara negeri yang terkesan dengan perubahan iklim dan mengakibatkan kemusnahan harta benda. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk Johor mengambil langkah proaktif bagi mengawal masalah ini,” kata Ir. Hasni dalam Facebook Makmur Johor.
Tambah Hasni, Hubungan simbiosis yang terjalin bersama Singapura memberi peluang yang cerah bagi penubuhan JCMC yang akan bertindak sebagai sebuah institusi yang mengurus kerjasama antara pakar dan sektor swasta serta menjadi pusat ilmu.
” Justeru, susulan keberangkatan Tuanku Permaisuri bersama UTM ke Oxford UK tempoh hari bagi persidangan perubahan iklim, saya merasakan ini peluang yang baik untuk menggerakkan usaha menangani isu ini di Johor,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Kawasan Benut.-UTUSAN