Hafidz Roshdi waras dan boleh dibicara

Hafidz Roshdi waras dan boleh dibicara

HAFIDZ Roshdi ditemani barisan peguam belanya ketika hadir untuk sebutan semula kes mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor di sini hari ini.-UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Pelakon, Hafidz Roshdi disahkan waras dan boleh dibicarakan atas pertuduhan mencederakan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Itu merupakan intipati utama laporan psikiatri Hafidz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafidz Roshdi.

Laporan daripada Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak itu tersebut disediakan rentetan permohonan pihak pendakwaan selepas peguam bela Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader pada prosiding sebelum ini memaklumkan anak guamnya mengidap bipolar.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

Sehubungan itu, Hakim Mohd. Kafli Che Ali yang bertindak sebagai Majistret hari ini menetapkan 17 Julai ini untuk serahan dokumen.

Terdahulu, Akberdin memohon agar sesalinan laporan psikiatri itu diserahkan kepada pembelaan.

Asmaa’ memaklumkan pihaknya akan menyerahkan salinan laporan itu bersama-sama dokumen lain.

Pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas tuduhan  mencederakan Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 3.30 pagi, 2 Mac lalu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya dekat sini.

Pertuduhan terhadap Hafidz dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323 tersebut.

Hafidz atau dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Sementara itu, kes pengesahan lafaz cerai membabitkan pasangan itu akan disebut di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 20 Jun ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya