Graduan perubatan tempatan tidak akan dikurangkan

DEWAN NEGARA: Graduan perubatan tempatan tidak akan dikurangkan

Taksub
MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak sesekali berhasrat mengurangkan pengambilan pelajar jurusan perubatan di institusi pengajian tinggi awam meskipun kini berdepan dengan lambakan graduan jurusan itu dari luar negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hal ini kerana pengambilan graduan perubatan tempatan masih belum mencapai sasaran ditetapkan iaitu 4,800 orang setahun.

Malah, beliau menambah, pengeluaran bakal doktor melibatan universiti tempatan pada setiap tahun masih rendah kerana disebabkan beberapa faktor seperti gagal menamatkan pengajian dan menukar jurusan.

Katanya, di samping itu pengambilan jurusan perubatan dalam negara termasuk IPTS masih di bawah sasaran tersebut iaitu pada 2020 (3,853 pelajar), 2021 (4,202) dan 2022 (4,671).

“Jika dihujahkan, jumlah ini (graduan dalam dan luar negara) melebihi sasaran Kementerian Kesihatan untuk melahirkan hanya 4,800 doktor setahun, namun, pengeluaran graduan universiti tempatan adalah lebih rendah disebabkan beberapa faktor seperti gagal menamatkan pengajian dan menukar jurusan serta lain-lain.

“Misalnya graduan perubatan dalam negara pada 2020 adalah seramai 2,041, pada 2021 3132 orang dan pada 2021 adalah 3,934 orang. Anggaran graduan pada tiga tahun datang kira-kira 3,934 setahun iaitu 2,281 daripada IPTA dan 1,653 daripada IPTS,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Prof. Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu mengawal termasuk mengurangkan pengambilan pelajar perubatan dengan mengambil kira jumlah graduan semasa.

Justeru, Mohamed Khaled memberi jaminan bahawa pihaknya mengekalkan jumlah pengambilan pelajar perubatan dalam negara dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya pelaburan besar dilakukan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai doktor tempatan.

“Kementerian akan terus kekalkan jumlah ditetapkan kerana permohonan ramai untuk mengambil jurusan perubatan dan kadar ditetapkan universiti tempatan adalah murah. 

“Maka dengan demikian kita melakukan pendemokrasian pendidikan, kita membenarkan ramai untuk ambil perubatan. Jika kurang dalam negara sudah tentu terpaksa ramai pergi luar negara dan kos sudah tentu adalah tinggi.

“Kedua, pelaburan besar kerajaan sudah dibuat bagi memastikan kita lahirkan doktor tempatan. Saya percaya IPTS (juga sama) yang membina hospital pengajar dan membelanjakan RM500 hingga RM600 juta, tidak akan kita hendak menjejaskan itu.

“Ketiga adalah keyakinan kita bahawa sistem kita boleh melahirkan pelajar termasuk daripada perubatan. Kita beri jaminan akan jaga semua ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Khaled berkata, Kementerian Pendidikan tidak akan membuat sebarang keputusan melibatkan pelajar perubatan luar negara kerana ia melibatkan penajaaan daripada agensi-agensi lain dan bukan tanggungjawab serta kuasa pihaknya.

Beliau menambah, jumlah graduan luar negara seperti mana berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan adalah 3,919 orang (2020), 4,698 (2021) dan 4,875 (2021).

Oleh itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Kesihatan menubuhkan satu jawatan kuasa tertinggi yang dianggotai pelbagai pihak berkepentingan pada 31 Mac lalu untuk menangani isu lambakan graduan perubatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya