KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan enam premis makan di Pasir Mas dan Rantau Panjang di sini, diarahkan untuk menutup operasi selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai standard kebersihan yang telah ditetapkan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, arahan itu selari dengan peraturan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Menurutnya, pemilik premis makanan yang tidak mematuhi perintah penutupan premis makanan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Fokus pemeriksaan kali ini melibatkan 55 buah premis makanan di sekitar Bandar Pasir Mas; Jalan Lemal-Lati; Jalan Lemal-Tendong dan Jalan Lati-Rantau Panjang yang sering menjadi tumpuan orang ramai.
“Pada masa sama, sebanyak 98 notis kompaun telah dikeluarkan oleh pihak kami kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, pihaknya menasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.-UTUSAN