Elaun lebih masa doktor sama dengan pekerja restoran

Elaun lebih masa doktor sama dengan pekerja restoran makanan segera RM9.16 sejam

Elaun doktor atau pegawai perubatan sangat rendah RM9.16 sejam. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan sahaja pendapatan tidak setimpal dengan kepakaran dan beban tugas, elaun pegawai perubatan terutama bagi tugas lebih masa atau on call sangat rendah jika dibanding dengan upah kepada pekerja bukan profesional lain.

Mereka cuma dibayar RM9.16 sejam, iaitu lebih rendah berbanding elaun lebih masa pekerja restoran makanan segera sekitar RM10 sejam atau upah pembersih rumah RM20 sejam.

Elaun itu dibayar jika mereka dipanggil bekerja pada hari cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum dan mereka hanya menerima ‘harga’ itu atas pengorbanan dan kehilangan masa bersama keluarga.

“Nilai bayaran ini adalah le­bih rendah berbanding seorang pekerja pasar raya. Bebanan tugas dalam kalangan petugas kesihatan adalah sesuatu yang nyata.

“Hasil kajian mendapati satu daripada tiga doktor mengalami tekanan, jumlah doktor tidak cukup berbanding pesakit terlalu ramai kira-kira lapan juta setahun di 145 hospital di seluruh negara manakala 41.3 peratus pesakit menunggu enam jam di wad kecemasan untuk mendapat rawatan,” katanya semalam.

Menurut beliau, menjadi seorang doktor atau pegawai perubatan amat mulia, namun, ia perlu mengambil pertimbangan tentang soal pengorbanan hampir separuh umur hidup mereka hanya untuk berkhidmat dengan bayaran RM9.16 sejam jika bekerja pada hari cuti.

ELAUN

Elaun tersebut sama untuk semua pegawai perubatan tanpa mengira gred.
Katanya, ada ketika seorang doktor itu perlu bertugas 33 jam sehari dan jumlah keseluruhan bayaran yang diterima itu lebih rendah daripada seorang pelayan restoran, namun mereka tetap tersenyum sewaktu me­rawat pesakit.

Beliau pada masa sama memberi tabik hormat kepada kumpulan pegawai perubatan yang meneruskan perkhidmatan ketika ada kalangan memilih meletak jawatan dengan rekod doktor kontrak seramai 1,354 orang menamatkan perkhidmatan pada tahun lalu.

“Bayangkan, untuk menjadi seorang doktor mengambil masa lima ke enam tahun untuk belajar bidang perubatan di universiti dengan kos antara RM200,000 ke RM500,000 tanpa biasiswa.

Selepas itu perlu mengikuti program housemanship dua tahun yang tidak pernah sunyi daripada isu buli dan aduan berhubung suasana persekitaran kerja toksik.

“Akhirnya, jika anda bertugas sebagai seorang doktor kontrak, anda akan menerima gaji permulaan sekitar RM4,000 yang mana pada masa sama perlu melunaskan pinjaman kos pengajian dengan ketidaktentuan status kontrak masing-masing.

“Mungkin dengan bayaran on call RM9.16 sejam pada hari cuti dan hujung minggu boleh ‘menampung’ anda untuk membayar komitmen setiap bulan,” sindirnya.

BERFIKIR

Beliau berkata, pekerjaan doktor sangat baik tapi pelajar lepasan SPM perlu berfikir dua kali sama ada berbaloi atau tidak untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan berbanding nilai pengorbanan yang dituntut.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Ab­dul Razak membangkitkan isu pendapatan yang tidak setimpal dengan kepakaran dan beban tugas punca ramai pegawai perubatan enggan mendalami bidang menjadi doktor pakar.

Katanya, gaji doktor pakar dalam perkhidmatan awam tidak bersandar kepada kecekapan individu, tetapi lebih bergantung kepada gred, malah kenaikan gred dan pangkat dibuat mengikut kekananan seseorang pegawai perubatan itu.

Gaji pegawai perubatan pakar pada gred UD52 bermula RM5,000 lebih sebulan sehingga kadar maksimum RM12,000 tidak termasuk elaun, namun, terpaksa berdepan dengan pesakit yang ramai dan isu-isu kekananan.

PESAKIT

Di sektor perubatan swasta, gaji doktor pakar bermula RM50,000 sehingga mencecah RM100,000 bergantung kepada jumlah pesakit dan kepakaran dimiliki.

Malaysia hanya mempunyai 6,985 pakar perubatan yang berkhidmat di kira-kira 70 hospital daripada 145 hospital kerajaan di seluruh negara.

Kekurangan doktor pakar itu melibatkan pelbagai bidang antaranya pakar kardiotorasik (jantung), onkologi (kanser), perubatan paliatif (kanser), perubatan geriatrik (penyakit orang tua), neurosurgeri (otak), obstetrik (sakit puan) dan ginekologi serta psikiatri.

Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Hartal Doktor Kontrak berkata, elaun lebih masa pegawai perubatan wajar dinaik­kan bukan RM9.16 sejam.

Menurut beliau, jumlah semasa bukan sahaja tidak setimpal malah tidak berubah sejak dahulu sehingga kini.

“Sudahlah dibebani tugas berat dan menjaga nyawa rak­yat, elaun juga perlu dinaikkan kerana bayaran RM9.16 terlalu lapuk berbanding pekerja bidang lain.

“Jika dinaikkan amat wajar dan berbaloi dengan peranan besar petugas kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN