PORT DICKSON: Sebanyak dua lagi kawasan perlindungan marin iaitu taman laut baharu di negara ini akan diwartakan di bawah Seksyen 41, Bahagian 1X, Akta Perikanan 1985.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, kedua-duanya membabitkan Taman Laut Negeri Melaka berkeluasan 26.97 kilometer persegi dan Taman Laut Gugusan Pulau Lima, Johor yang berkeluasan 299 kilometer persegi.
Menurutnya, ini menjadikan jumlah terkini taman laut di negara ini adalah sebanyak 52 buah dengan kawasan perairan negara yang telah diwartakan mencapai keluasan 25,358.39 kilometer persegi.
Ia ataupun sebanyak 5.35 peratus dari keseluruhan perairan keluasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara yang seluas 473,952 km persegi.
“Kita sebenarnya menyasarkan sebanyak 10 peratus daripada EEZ akan diwartakan sebagai taman laut menjelang tahun 2030. Lebih kurang tujuh tahun lagi dari sekarang dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
“Langkah ini penting bagi memastikan sumber perikanan di negara ini akan terus terjamin serta dilindungi bagi kepentingan semua pihak, selain menjamin sekuriti makanan kita,” katanya sempena Program Sambutan Hari Laut Sedunia 2023 di Pantai Tanjung Biru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Adnan Hussain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.
Pada program berkenaan, sebanyak lima ekor penyu iaitu penyu karah dan agar dilepaskan ke laut manakala tiga ekor penyu agar berusia tiga tahun diserahkan kepada pihak Glory Beach Resort yang mempunyai lesen memiliki penyu di negeri ini.
Turut dilepaskan ke laut, sebanyak 20 ekor induk ikan inggu yang berusia empat hingga enam bulan dan 8,000 ekor benih ketam renjung bagi tujuan pengkayaan sumber perikanan.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, sempena program berkenaan juga, beliau berpeluang untuk melihat sendiri pasukan penyelam sukarela melakukan selaman di dasar laut bagi aktiviti pembersihan pukat terbiar.
“Kemungkinan ada pukat yang tersangkut yang kita panggil jaring hantu, ia pukat yang tersangkut di terumbu karang. Saya harap agar semua pihak akan bersama-sama menjaga sumber laut ini,” katanya lagi.-UTUSAN.